KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan budaya buli yang semakin berleluasa di pusat pengajian dan sekolah di Sabah serta seluruh negara perlu dipandang serius dan dibendung.
Katanya, beliau secara peribadi amat kecewa dan sangat sedih dengan apa yang telah berlaku sebelum ini dan menyifatkannya sebagai suatu keadaan yang tidak wajar berlaku.
“Apa yang lebih mengecewakan ialah budaya buli di kalangan murid turut berlaku di sekolah agama. Maka masyarakat mula bertanya, malah saya sendiri pun ingin tahu, apa sebenarnya yang telah berlaku?
“Mengapa boleh wujud budaya buli dalam sebuah institusi yang berlambangkan kesucian agama Islam? Di manakah salah dan silapnya?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Du’at di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Selasa.
Sehubungan itu, Ketua Menteri percaya konvensyen hal ehwal agama Islam adalah wadah terbaik untuk bermuhasabah dan menilai kelemahan, memperbaiki kekurangan bukan saja di sekolah tetapi juga dalam semua organisasi sama ada milik kerajaan atau persendirian.
Hajiji berkata sebagai warga negara dalam sebuah negara berbilang kaum, umat Islam tidak dapat mengelak daripada berdepan dengan isu-isu berkaitan agama , khususnya di media sosial.
Beliau menyatakan kebimbangan terhadap penularan propaganda palsu termasuk berita palsu dan fitnah, yang disifatkannya taktik jahat kumpulan anti-kerajaan yang bertujuan untuk menjatuhkan maruah atau membinasakan reputasi pemimpin tertentu menjelang pilihan raya negeri.
“Selain isu politik, terdapat juga perkara lain yang turut disensasikan, antaranya berkaitan ekonomi, keselamatan, kesihatan, alam sekitar, serta isu 3R (Kaum, Agama dan Institusi Diraja), malah institusi Yang di-Pertua Negeri juga turut dibantai dan diperlekeh,” katanya.
Katanya, turut tidak terkecuali ialah insiden tragis yang membabitkan pendidikan dan isu budaya buli di kalangan murid sekolah sehingga menyebabkan kehilangan nyawa, yang disensasikan oleh segelintir netizen tidak bertanggungjawab sehingga ada yang sanggup berbohong, menyebarkan berita palsu dan memfitnah individu tertentu.
Beliau berkata letusan pesat teknologi maklumat pada abad ini membuka dunia tanpa sempadan, mengecilkan dunia menjadi sebuah perkampungan sejagat, di mana segala-galanya berada di hujung jari.
“Cabaran menjadi lebih besar dengan wujudnya aplikasi canggih dikenali sebagai Kecerdasan Buatan (AI), yang direka untuk membantu memudahkan tugasan dan kerja dalam era moden.
“Namun, di sebalik manfaat dan kemudahan teknologi canggih ini, ia juga boleh mendatangkan ancaman dan cabaran serius kepada kita, khususnya umat Islam, jika disalah guna atau dijadikan senjata untuk menghasilkan infografik, audio atau video palsu dengan niat menggugat kestabilan umat Islam di seluruh dunia.
“Penyalahgunaan aplikasi ini adalah cabaran utama yang kita hadapi pada abad ini. Harus diingat bahawa dunia digital, termasuk teknologi internet, sentiasa berkembang dengan pesat.
“Setiap hari, ciptaan baharu dihasilkan oleh saintis dan pengatur cara, sehingga pengguna seperti kita yang sudah mencapai status veteran ini sering sukar untuk mengikuti perkembangannya.
“Kebimbangan sebenar adalah terhadap generasi muda dan pewaris masa depan tanah air yang kita cintai,” katanya.
Hajiji berkata hakikatnya teknologi canggih akan terus menguasai kehidupan manusia apabila negara-negara maju berlumba-lumba mencipta gajet dan pelbagai lagi bukan saja untuk menguasai pasaran global tetapi juga mempengaruhi serta menguasai minda dan pemikiran manusia.
Sehubungan itu, katanya peranan ibu bapa, pendidik, pendakwah, pemimpin organisasi dan tokoh masyarakat penting sebagai pembimbing serta benteng generasi muda.
“Tugas mendidik generasi muda dan membentuk ahli masyarakat adalah satu fardhu kifayah yang besar pahalanya. Maka ia mesti dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan kasih sayang terhadap bangsa dan negara,” katanya. – Info X