Search

Bom lama aktif ditemui di Lahad Datu berjaya dimusnahkan

August 26, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Sebutir bom lama jenis Unexploded Ordnance (UXO) Aerial Bomb yang masih aktif berjaya dimusnahkan dalam satu operasi khas di tebing Sungai Segama, Kampung Batu 8, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Hj. Ismail, berkata bom berkenaan ditemui pada 24 Ogos lalu hasil makluman orang awam sebelum siasatan lanjut mengesahkan objek berkenaan adalah bom lama yang berbahaya dan masih aktif.

Katanya, Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah dengan kerjasama UPB Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu serta UPB dari daerah lain menjalankan operasi pemusnahan bom itu semalam, pada jam 11.33 pagi.

“Pemusnahan dilakukan menggunakan kaedah Low Order dengan bantuan sistem elektrik dan bahan letupan khas.

“Operasi dijalankan dengan lancar tanpa sebarang kecederaan atau kerosakan harta benda,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bom lama berjaya dimusnahkan dalam satu operasi khas di tebing Sungai Segama, Kampung Batu 8, Lahah Datu.

Beliau berkata, seramai empat pegawai dan 17 anggota lain-lain pangkat terbabit dalam operasi berkenaan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyentuh atau mendekati sebarang objek mencurigakan yang ditemui, sebaliknya segera melaporkan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil,” katanya. – Info X