Search

Hari Kebangsaan wadah penyatuan, bukan medan perpecahan – Razali

August 26, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Hari Kebangsaan yang disambut akhir bulan ini perlu dijadikan wadah penyatuan rakyat, bukan medan perpecahan berikutan pelbagai isu dibangkitkan masyarakat, termasuk slogan ‘No Justice, No Merdeka’ yang disebar melalui media sosial.

Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Darau, Datuk Mohammed Razali Razi, walaupun isu keadilan yang dibangkitkan rakyat tidak boleh dipandang remeh, semangat kebersamaan pada Hari Kebangsaan mesti dipelihara.

“Kita faham ada isu-isu besar yang sedang dibincangkan, tetapi jangan sampai kita lupa tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia.

“Hari Kebangsaan adalah hari penting untuk kebersamaan, jangan kita alih fokus sehingga hilang erti sebenar kemerdekaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program pengagihan Jalur Gemilang di pekan Manggatal, di sini, pada Selasa.

Sementara itu, mengulas kontroversi pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di Semenanjung, beliau berkata situasi di Sabah berbeza kerana masyarakat negeri ini mengamalkan keharmonian dalam kepelbagaian.

Razali mengedar Jalur Gemilang dan Bendera Sabah kepada peniaga di tamu pekan Manggatal.

“Di Sabah kita hormati kepelbagaian dan bila ada hormat itu, barulah perpaduan tercapai. Orang Sabah adalah cerminan Malaysia sebenar kerana walaupun kita berbilang kaum, bangsa dan agama, kita tetap hidup dalam suasana harmoni,” katanya.

Razali menegaskan, budaya toleransi dan semangat perpaduan yang sekian lama diamalkan di Sabah wajar dijadikan teladan seluruh rakyat Malaysia.

Pendekatan itu katanya bagi memastikan makna kemerdekaan tidak dicemari dengan perselisihan yang boleh memecahbelahkan rakyat.

Sambutan Hari Kebangsaan di negeri ini diraikan serentak dengan Hari Sabah yang menandakan pembebasan negeri ini daripada penjajahan British pada 31 Ogos 1963. – Info X