KOTA KINABALU: Beberapa daerah dilanda ribut petir, hujan lebat serta angin kencang petang tadi hingga menyebabkan kerosakan kecil.
Sebelum itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sudah mengeluarkan amaran awal sekitar jam 1.30 tengah hari, memaklumkan ribut petir dari arah laut dijangka melanda Pantai Barat sekitar jam 3 petang.
Amaran susulan pada jam 5 petang turut meramalkan cuaca buruk berterusan hingga jam 9 malam di beberapa daerah termasuk Pantai Barat, Pedalaman, Tawau dan Sandakan.
Antara kawasan terjejas ialah Kota Kinabalu, Papar, Tuaran, Penampang, Kota Belud, Ranau, Beaufort, Tambunan dan Semporna.
Di Kota Kinabalu, gelanggang pickleball di Pacific Sutera rosak selepas dilanda ribut ketika beberapa pelanggan sedang bermain kira-kira jam 3 petang.
Video tular menunjukkan angin kencang menerbangkan jaring dinding serta papan pemidang di sekeliling gelanggang, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Di Kundasang, beberapa gerai jualan rosak apabila khemah diterbangkan angin, menyebabkan sebahagian barangan peniaga terjejas.
Video yang dikongsikan warganet memaparkan peniaga berusaha membaiki khemah dan mengemas barangan selepas ribut reda.
Sementara itu, di Jalan Tun Fuad Stephen, Tanjung Lipat, beberapa kenderaan turut dihempap dahan pokok yang patah akibat angin kencang.
Rakaman orang awam menunjukkan dahan kecil berguguran ke jalan, namun tiada kemalangan jiwa atau kerosakan serius dilaporkan.
Susulan itu, pihak berkuasa menasihatkan orang ramai mengelakkan aktiviti di kawasan terbuka, pantai atau laut sepanjang tempoh ribut.
Nelayan serta pengguna bot kecil turut diingatkan supaya menangguhkan sebarang aktiviti di perairan sehingga keadaan cuaca kembali reda.
Orang ramai juga diminta sentiasa peka dengan amaran cuaca jangka pendek yang dikeluarkan MetMalaysia dan agensi berkaitan dari semasa ke semasa. – Info X