KOTA KINABALU: Golongan belia khususnya generasi Z perlu bijak menerima dan menapis maklumat yang tersebar di media sosial agar tidak mudah terpengaruh dengan berita palsu.
Pengerusi Smart Sabah, Datuk Mohammed Razali Razi, berkata walaupun media sosial menjadi medium utama anak muda hari ini, ia tidak seharusnya dijadikan rujukan tunggal tanpa disemak kesahihan kandungannya.
“Jangan terlalu percaya dengan apa yang dihidang di media sosial. Kita mesti berfikir dengan bijak, dapatkan pandangan guru, ibu bapa atau sumber rasmi untuk memastikan kesahihan maklumat atau berita sebelum kita membuat sebarang tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Tamu Suara 360° anjuran Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) bersama Majlis Belia Sabah (MBS) di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu (KTEKK), di Manggatal, dekat sini, pada Rabu.
Program itu menghimpunkan kira-kira 1,000 pelajar yang berpeluang mendengar pandangan pemimpin dan membincangkan isu semasa berkaitan aspirasi belia serta cabaran era digital.
Razali berkata, program itu untuk memberi ruang kepada pemimpin mendengar secara langsung suara generasi muda, memahami keperluan mereka dan bertindak demi kepentingan belia.
“Apabila kita mendengar, kita akan faham. Apabila kita faham, barulah kita boleh membuat keputusan yang tepat demi masa depan anak-anak muda kita,” katanya.
Pada sesi soal jawab bersama pelajar, Razali turut mengingatkan agar golongan muda agar tidak mudah hanyut dengan maklumat yang tular, sebaliknya menilai dengan sikap kritis sebelum menerima sesuatu sebagai benar.
Sempena program itu pihak sekolah turut menerima sumbangan sebanyak RM5,000 untuk membiayai aktiviti sekolah yang diberikan melalui Pengetuanya, Suhaibul Kassim.
Majlis itu dirasmikan Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan. – Info X