KOTA KINABALU: Seorang pemandu Perodua Alza maut manakala dua penumpangnya cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan bertembung di Jalan Lama Penampang, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, seorang lagi pemandu Mitsubishi Triton turut dilaporkan parah
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Zainuddin Saidi, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 5.08 pagi.
Katanya, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, pasukan operasi mendapati pemandu Perodua Alza masih tersepit di tempat duduk.
“Mangsa berjaya dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan KKM. Dua lagi penumpang kenderaan sama mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemandu Mitsubishi Triton yang cedera parah turut dikeluarkan bomba sebelum diberikan rawatan awal dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I bersama dua lagi mangsa.
Seramai lapan anggota termasuk dari BBP Putatan dengan bantuan BBP Penampang digerakkan ke lokasi bersama dua jentera.
“Pasukan bomba turut melakukan kerja pembersihan di kawasan kemalangan dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.40 pagi,” katanya. – Info X