Search

Lelaki melecur dalam kebakaran dua rumah di Tawau

August 28, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki cedera melecur di kaki dan tangan selepas dua rumah separuh kekal musnah dalam kebakaran di Batu 4, Jalan Apas, di sini awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Madzlan Sarman, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.50 pagi.

Katanya, sepasukan 23 anggota bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Unit EMRS digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.

“Setibanya pasukan bomba pada jam 7 pagi, api sedang marak melibatkan dua buah rumah. Sebuah rumah terbakar 100 peratus, manakala sebuah lagi musnah 60 peratus.

“Dalam insiden itu, seorang lelaki berusia 57 tahun cedera melecur ketika cuba menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke Hospital Tawau menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Madzlan berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 500 kaki dengan satu dividing breeching serta dua pancutan sumber air pili bomba berhampiran.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.24 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya jam 8.35 pagi setelah memastikan lokasi kejadian selamat.

“Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pasukan forensic BBP Tawau,” katanya. – Info X