TAWAU: Kerajaan negeri meluluskan pemberian geran tanah kepada dua
perkampungan di kawasan Tanjung Batu iaitu Kampung Budaya Pasir Putih dan Kampung Tanjung Batu Laut.
Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor menyerahkan warta kampung berkenaan kepada Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Joseph Pang sempena Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Sabah Softwoods Berhad di Pasir Putih, di sini, hari ini.
“Menerusi pemberian geran tanah ini, rakyat yang tinggal di dua perkampungan terbabit tidak lagi perlu berasa bimbang.
“Hal ini kerana tanah perkampungan berkenaan sudah dijadikan tanah rizab kampung,” katanya.
Turut hadir isteri Ketua Menteri , Datin Juliah Salag; Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sr Safar Untong; dan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Datuk Sr Bernard Liew.
Dalam majlis itu, Hajiji turut menyampaikan sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM1 juta bagi pembinaan bangunan baharu Persatuan Untuk Orang Pekak Tawau manakala sebanyak RM50,000 lagi untuk kos operasi pusat berkenaan.

Sumbangan disampaikan kepada Pengerusi persatuan, Dr Lo Vun Kong. – Info X