KOTA KINABALU: Pemimpin pembangkang diselar jangan menipu rakyat dengan mendakwa mampu menyelesaikan segala isu yang didakwa gagal diselesaikan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam sekelip mata.
Menegaskan perkara itu, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Lamag, Johainizamshah Johari, berkata segala kerja untuk menyelesaikan isu jalan rosak, air atau elektrik memerlukan masa dan pelaburan yang besar.
Merujuk kepada tuduhan pemimpin pembangakang yang cuba mengaitkan masalah infrastruktur asas itu sebagai kegagalan GRS, beliau menekankan usaha yang sewajarnya sedang giat dilaksanakan.
Jelasnya, GRS tidak berdiam diri dalam menyelesaikan isu yang membelenggu rakyat negeri ini walaupun perkara itu diwarisi daripada kerajaan terdahulu dan kini kesannya terpaksa ditanggung GRS.
“Isu jalan rosak, bekalan air dan elektrik? Ini adalah masalah yang diwarisi sejak puluhan tahun sebelum GRS mengambil alih. Namun, kerajaan GRS telah mengambil tindakan konkrit.
“Projek Lebuhraya Pan Borneo dipercepatkan (Sumber: Borneo Post, 12 Julai 2024), loji rawatan air dinaik taraf, manakala bekalan elektrik luar bandar sedang giat diperkukuhkan.
“Ini kerja besar, memerlukan masa dan pelaburan besar. Banyak projek ini akan siap dalam tempoh tiga tahun akan datang. Jadi, jangan cuba menipu rakyat kononnya semua boleh diselesaikan sekelip mata,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir memperlekeh kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dengan mengatakan pengalaman panjang beliau selama 35 tahun dalam politik tidak pernah diterjemah kepada kesejahteraan rakyat Sabah, sebaliknya hanya meninggalkan kegagalan.
Ahli Parlimen Libaran itu menuduh hampir lima tahun GRS di bawah Hajiji menerajui kerajaan negeri, rakyat terus berdepan jalan raya rosak, bekalan elektrik tidak stabil, krisis air berpanjangan serta kadar pengangguran tertinggi di Malaysia.
Johainizamshah menyifatkan tuduhan yang dilemparkan terhadap Hajiji dan kerajaan GRS itu sebagai tidak berasas , tidak benar dan hanya retorik politik semata-mata.
Sebaliknya, beliau menegaskan GRS di bawah pimpinan Hajiji berjaya membawa pencapaian terbesar dalam sejarah negeri Sabah mnerusi pelbagai aspek yang sengaja dibutakan atau dinafikan pemimpin pembangkang.
“Sepanjang tempoh GRS memerintah, pendapatan Negeri Sabah meningkat kepada RM7 bilion dan ini adalah rekod yang tertinggi.
“Begitu juga dengan rizab negeri yang kini mencecah RM8.7 bilion, yanh tertinggi dalam sejarah Sabah (Sumber: Bernama, 6 Dis 2024).
“Selain itu, Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) mengandungi 400 inisiatif dilancarkan sebelium ini dan daripada jumlah itu, 94 peratus sedang giat dilaksanakan dan memberikan hasil.
“Dari segi bantuan kebajikan sebanyak RM1.49 bilion diagihkan, manakala Program Sentuhan Kasih mencecah RM385.5 juta (Sumber: Astro Awani, Okt 2024),” katanya.
Johainizamshah turut mengulas isu integriti yang dikaitkan dengan Ketua Menteri berikutan dakwaan skandal lesen mineral yang tular sebelum ini.
Beliau secara sinis bertanya mengenai pemimpin parti tertentu yang sedang berdepan kes mahkamah, berbanding Hajiji yang tidak pernah disiasat atau didakwa pihak berkuasa.
“Kami mahu bertanya semula, ketua parti mana yang sedang menghadapi kes mahkamah ketika ini? YAB Hajiji tidak pernah disiasat atau didakwa. (Sumber: Laporan SPRM tiada kes Hajiji, 2024),” katanya.
Bersandarkan fakta yang ada, beliau menegaskan bahawa GRS bukan kerajaan gagal, sebaliknya ia adalah sebuah kerajaan yang membuat kerja, manakala pihak lawan yang memberikan tuduhan itu sebenarnya gagal.
“Kalau ada pihak menuduh GRS gagal, merekalah yang gagal membawa perancangan konkrit. Kami yakin rakyat Sabah tahu siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang hanya pandai berjanji.
“GRS akan terus bekerja, terus berjuang, demi masa depan Sabah,” katanya. – Info X