KOTA KINABALU: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menyeru seluruh rakyat Malaysia di Sabah untuk terus mempertahan perpaduan dan menolak usaha pihak tertentu yang cuba menabur kebencian melalui fitnah dan pembohongan.
Menerusi perutusannya sempena sambutan Hari Kebangsaan Hari Sabah 2025 yang disambut pada 31 Ogos, Tun Musa menyatakan kebimbangannya apabila kebencian semakin banyak tersebar di media sosial.
Lebih membimbangkan, katanya apabila kandungan seumpama itu sering diambil di luar konteks dan dikongsi berulang kali sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat tanpa pengesahan yang sahih daripada pihak berkuasa atau sumber yang betul.
“Semasa kita melangkah ke era teknologi maklumat yang canggih dan kecerdasan buatan (AI), kita mesti mengingatkan diri kita bahawa kita masih mempunyai tanggungjawab untuk memastikan apa sahaja maklumat yang kita kongsikan mestilah tepat dan benar,” katanya.
Katanya, perpaduan dan keharmonian yang dipelihara di negeri ini menjadi salah satu sumbangan terbesar Sabah kepada negara.
Tun Musa juga menyeru rakyat Sabah agar terus bekerjasama untuk mengangkat negeri dan negara ke tahap yang lebih tinggi.
Sebagai rakyat Malaysia, katanya semua mesti saling menyokong dan menegakkan rasa hormat antara satu sama lain, tanpa mengira bangsa, agama atau negeri asal.
“Kita mesti menerima hakikat bahawa setiap individu adalah unik dan kepelbagaian budaya negara kita merupakan sumber kekuatan.
“Sabah, dengan kepelbagaian etnik dan tradisinya yang kaya, telah lama menjadi contoh cemerlang dalam aspek perpaduan dalam kepelbagaian.
“Keharmonian kita adalah kekuatan kita dan kita tidak boleh membiarkannya terhakis oleh seruan yang memecah-belahkan masyarakat,” katanya.
Dalam perutusan yang sama, Tun Musa turut menyatakan harapan agar jurang pembangunan di antara Sabah dengan negeri lain dapat dirapatkan melalui dasar strategik dan pelaksanaan inisiatif sosio ekonomi yang berkesan dalam menghadapi masa depan.
Beliau juga berharap agar mutu kehidupan rakyat di Sabah dapat terus ditingkatkan.
Pada masa yang sama Tun Musa juga mengingatkan perkhidmatan awam negeri mengenai tanggungjawab mereka untuk memastikan semua projek dan program yang dirancang dilaksanakan dengan segera tanpa halangan birokrasi yang tidak perlu, dengan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.
“Saya juga berharap Sabah akan terus kekal stabil dari segi politik, kerana faktor ini amat penting untuk menarik pelaburan langsung asing serta bakat baharu yang seterusnya akan merancakkan pertumbuhan ekonomi dan membawa lebih banyak kemajuan kepada rakyat.
“Pada Hari Kebangsaan Hari Sabah 2025 ini, marilah kita bersama-sama memperbaharui tekad untuk kekal bersatu padu dan bekerjasama demi kejayaan berterusan Sabah dan Malaysia.
“Saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Hari Sabah 2025 kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya. – Info X