Search

PGA SANDAKAN RAMPAS 393 KARTON ROKOK BERNILAI HAMPIR RM50,000

May 19, 2022

admin

SANDAKAN: Sebanyak 393 karton rokok pelbagai jenama bernilai hampir RM50,000 dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam kejadian di kawasan Pasar Ikan Tanah Merah, di sini, semalam.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, anggota Tiger Platon Batalion 15 PGA dan anggota Task Force Perisikan Batalion 15 PGA Sandakan melihat sekumpulan individu dalam keadaan mencurigakan ketika menjalankan tugas risikan maklumat di kawasan berkenaan kira-kira jam 9.30 malam.

“Ketika dihampiri, semua individu terbabit segera meninggalkan kawasan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan itu menemukan beberapa plastik hitam dipercayai berisi rokok seludup yang disembunyikan di belakang sebatang pokok.

“Selepas melakukan pemerhatian selama hampir setengah jam, tiada siapa yang datang. Hasil pemeriksaan ke atas 13 plastik hitam itu didapati berisi sebanyak 393 karton rokok pelbagai jenama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Abdul Rani, nilai keseluruhan rampas dianggarkan berjumlah hampir RM50,000.

Katanya, semua barang rampas dibawa ke Balai Polis Sandakan, untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – Info X