KOTA KINABALU: Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar, menafikan terbabit dalam proses penggalian semula kubur Allahyarham Zara Qairina Mahathir pada 9 Ogos lalu.
Menerusi satu kenyataan, beliau berkata timbalannya juga tidak terbabit dalam proses itu dan menyifatkan dakwaan bahawa Mufti dan Timbalan Mufti berada di kubur arwah pada masa itu adalah tidak benar.
Bungsu sekali gus menafikan bahawa Mufti dan Timbalan Mufti terhidu haruman pada jenazah arwah seperti didakwa video ‘Penggali Kubur’ pada 28 Ogos 2025 yang disifatkannya tidak benar, tidak berasas dan boleh mencemarkan nama baik institusi kemuftian negeri Sabah.
“Pejabat Mufti Negeri Sabah ingin menegaskan bahawa Mufti Kerajaan Negeri Sabah dan Timbalan Mufti tidak terlibat semasa proses penggalian semula jenazah Zara Qairina Binti Mahathir dilakukan seperti yang didakwa oleh penggali kubur tersebut.
“Kenyataan tersebut adalah fitnah yang boleh menjejaskan reputasi serta kepercayaan masyarakat terhadap Pejabat Mufti Negeri Sabah.
“Pihak yang terlibat diminta menarik balik penyataan tersebut serta memohon maaf secara lisan dan bertulis sebelum tindakan undang-undang dilaksanakan,” katanya.
Beliau merujuk kandungan video tular berdurasi 46 saat itu, khususnya antara saat kelapan hingga ke-20 yang menyebut kononnya Mufti Kerajaan Negeri Sabah dan Timbalan Mufti terhidu haruman pada jenazah.
Berikutan itu, katanya Pejabat Mufti Negeri Sabah menasihatkan semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih.
Katanya, tindakan undang-undang juga boleh diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang menyebarkan kenyataan dalam video terbabit.
“Pejabat Mufti Negeri Sabah berharap agar kenyataan ini dapat menjelaskan kedudukan sebenar dan menghentikan sebarang salah faham berkaitan isu berkenaan,” katanya. – Info X