Search

Bung Moktar tidak masuk campur soal duit isteri, nafi terima rasuah RM2.8 juta

September 2, 2025

Info X Reporters

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan beliau tidak masuk campur dalam soal duit yang dimiliki isteri-isterinya sejak berkahwin.

Beliau yang juga Ketua UMNO Sabah berkata demikian pada hari pertama prosiding bela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada Selasa.

Bung Moktar berkata demikian di hadapan Hakim Rosli Ahmad ketika disoal peguamnya, Ridha Abdah Subri.

Ridha bertanya sama ada Bung Moktar mengetahui status wang simpanan dan pelaburan isteri keduanya, Datin Seri Zizie Izette A Samad sebelum dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad.

Dalam jawapannya, Bung Moktar berkata: “Saya tidak tahu. Memang menjadi persefahaman antara saya dan isteri-isteri, sejak berkahwin sehingga kini, bahawa duit mereka adalah duit mereka dan saya tidak masuk campur,”.

Terdahulu, Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, menegaskan beliau tidak pernah menerima rasuah daripada dua ejen pelaburan Public Mutual Berhad berkaitan pelaburan Felcra Berhad bernilai RM150 juta, kira-kira 10 tahun lalu.

Bung Moktar menyatakan tiada rakaman video, gambar atau perbualan direkodkan berhubung dakwaan penerimaan wang daripada dua saksi pendakwaan.

Beliau juga menegaskan tiada bukti menunjukkan pembayaran dibuat kepadanya oleh dua ejen pelaburan, iaitu saksi pendakwaan ke-24 (SP24), Madhi Abdul Hamid dan SP25, Norhaili Ahmad Mokhtar.

“Saya tidak menerima wang itu secara langsung atau tidak langsung, malah tiada bukti menunjukkan aliran wang kepada saya. Tidak ada bukti,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada pendakwaan telah mengemukakan sebarang dokumen, e-mel atau mesej yang membuktikan beliau bersetuju untuk menerima suapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu juga mengaku tidak tahu apabila ditanya sama ada beliau mengetahui secara pasti bahawa Zizie Izette telah menerima wang sebanyak RM2.8 juta daripada Norhaili dan Madhi pada Jun 2015.

Beliau turut menafikan ada mengarahkan atau meminta Zizie Izette menerima wang itu bagi pihaknya dengan menjawab: “Tidak pernah, kerana saya langsung tidak tahu mengenai perkara itu,”.

Bung Moktar berkata, tiada mana-mana pihak memaklumkan kepadanya mengenai isu itu sehinggalah beliau dipanggil untuk membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2016 atau 2017.

Berdasarkan fakta kes, Bung Moktar pada 3 Mei 2019, ketika memegang jawatan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa atas dua pertuduhan secara rasuah.

Pertuduhan itu ialah memperoleh untuk dirinya suapan wang tunai berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra bagi pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar didakwa menerima suapan daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, melalui isterinya, Zizie Izette dan akaun Public Islamic Treasures Growth Fund atas nama isterinya.

Dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Cawangan Taman Melawati, antara jam 12.30 tengah hari hingga 5 petang pada 12 Jun 2015 dan pada jam 12.16 tengah hari, 19 Jun 2015.

Bagi pertuduhan ketiga, Bung Moktar didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette pada tarikh dan lokasi sama, kira-kira jam 12.28 tengah hari pada 19 Jun 2015.

Berikutan itu, Bung Moktar berdepan pertuduhan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu ialah penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Izette turut berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di lokasi, tarikh dan masa yang serupa. – Info X