Search

TYT bukan untuk dipersenda, jangan cemarkan pentas solidariti untuk Zara

September 2, 2025

Info X Reporters

Alias Mohamad

BERAPI-API melaungkan keadilan, namun menyelitkan ucapan berbaur hasutan bukanlah satu tindakan yang wajar, sebaliknya hanya memperlihatkan niat sebenar individu itu yang mahu mempergunakan himpunan ‘Justice For Zara’ sebagai alat untuk tujuan lain.

Lebih parah apabila nama Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman turut dipersenda dan disebut tanpa adab, malah mahu ‘dibakar’ oleh seorang individu yang dipercayai masih bergelar mahasiswi dari sebuah universiti terkenal di negeri ini.

Di manakah hati nurani individu itu sebagai seorang yang terpelajar, dilihat berperwatakan sopan bertudung, tapi menjerit mahu ‘membakar’ TYT dan mengajak rakyat Sabah bangkit, seolah-olah mahu menganjurkan demonstrasi ganas seperti berlaku di Indonesia.

TYT adalah sebuah institusi, walaupun tidak setinggi institusi Yang di-Pertuan Agong atau sultan dan raja di negeri beraja di Malaysia, TYT adalah ketua negeri, yang bermakna beliau adalah individu paling utama dihormati di negeri yang diketuainya.

Dalam konteks negeri Sabah, TYT berasal daripada gelaran Governor yang digunakan kerajaan kolonial sebagai ketua yang mewakili Mahkota British di Borneo Utara sebelum diubah menjadi TYT selepas Sabah membentuk Malaysia bersama Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu pada 16 September 1963.

Beliau dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan kelayakan yang dimiliki oleh individu yang namanya dicadangkan oleh kerajaan negeri, bukan dipilih sembarangan tanpa mengikut perlembagaan kerana TYT dilindungi dalam Perlembagaan Negeri Sabah.

TYT juga menjadi lambang perpaduan dan keharmonian hidup rakyat berbilang kaum di Sabah yang diwarisi turun temurun dan perlu dipertahankan agar terus kukuh dari satu generasi ke generasi yang akan datang.

Justeru, perbuatan mempersenda atau mengaitkan nama TYT dengan perkara yang tidak benar adalah satu hasutan dan fitnah yang boleh diambil tindakan undang-undang demi menjaga nama baik institusi TYT dan Sabah selaku negeri yang diketuainya.

Sebagai seorang yang terpelajar, perkara seumpama ini seharusnya diketahui dan disedari, kecuali individu yang terbabit ada niat dengan sengaja atau ‘diperkudakan’ pihak lain untuk membangkitkan emosi rakyat tanpa menghiraukan kesannya terhadap diri dan keharmonian negeri ini.

Tidak kira datang dari mana, sama ada dari Sabah sendiri atau Semenanjung, tuntutlah ilmu dengan sebaik mungkin lebih-lebih lagi jika berada di negeri orang, bukan melakukan perbuatan yang bertentangan dengan budaya rakyat tempatan.

Rakyat Sabah, meskipun berbeza agama, kepercayaan, tradisi dan budaya, malah fahaman politik, hakikatnya mereka tetap bersatu sebagai sebuah masyarakat besar yang bangga disebut Sabahan sebagai lambang jati diri.

Jarang sekali rakyat Sabah sendiri menghasut dengan menghina atau mempersenda pemimpin negerinya, lebih-lebih lagi TYT hingga boleh diambil tindakan undang-undang.

Kritikan terhadap pemimpin adalah perkara lumrah dalam negara demokrasi, namun kritikan keterlaluan sehingga membawa kepada hasutan atau mendorong rakyat membenci pemimpin dan ‘membakar’ mereka adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dalam budaya kita.

Sehubungan itu, tindakan pihak polis menahan wanita terbabit yang dipercayai menggunakan pentas himpunan solidariti untuk arwah Zara di Tawau baru-baru ini adalah sesuatu yang wajar sebagai peringatan keras agar ia tidak menjadi budaya bukan saja di Sabah, malah di seluruh negara.

Ambil iktibar apa yang berlaku di negara jiran apabila banyak kemusnahan berlaku disebabkan tindakan keterlaluan golongan tertentu mengajak rakyat memusuhi kerajaan dan pemimpin tanpa menggunakan akal fikiran yang waras.

Menyentuh mengenai himpunan solidariti, tiada salahnya berucap di khalayak ramai dengan penuh semangat, namun apa yang diucapkan mestilah menepati tema himpunan, iaitu solidariti untuk Allahyarham Zara Qairina dan bukannya meleret hingga menyentuh hal lain yang tidak berkaitan.

Penganjur himpunan solidariti untuk arwah Zara, termasuk peguam mewakili Allahyarham Zara Qairina sendiri sebelum ini sudah berulang kali mengingatkan agar tiada unsur politik atau perkara yang tidak berkaitan dengan tuntutan keadilan untuk arwah Zara dalam himpunan yang diadakan.

Yakin dan percayalah, keluarga arwah Zara Qairina sudah tentu tidak mahu nama anak mereka dipergunakan atas nama solidariti bagi mendapatkan keadilan untuk diri arwah, tetapi dijadikan pula sebagai landasan untuk berpolitik atau melaungkan ungkapan dan ucapan berbaur hasutan.

Artikel ini adalah pandangan atau ulasan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian Info X.