Search

Inkues kematian Zara: Prosiding bermula hari ini

September 3, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner, di sini mula mendengar inkues bagi mengenal pasti punca kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, hari ini.

Prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pagi ini bagaimanapun dijangka dimulakan dengan permohonan peguam untuk menjadi pihak berkepentingan dalam inkues itu.

Ia susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Duncan Sikodol, semalam mengetepikan keputusan koroner sebelum ini, Azreena Aziz yang menarik diri selepas pendengaran permohonan peguam pada 28 Ogos lalu.

Pada Selasa, peguam dari Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) dan peguam mewakili keluarga arwah Zara Qairina memohon semakan semula keputusan koroner sebelum ini yang membenarkan peguam pesalah kanak-kanak dimasukkan sebagai pihak berkepentingan dalam inkues itu.

Duncan kemudian mengetepikan semua keputusan yang dibuat koroner sebelum ini, namun pihak peguam yang terbabit boleh mengemukakan semula permohonan di hadapan koroner baharu.

Berikutan itu, peguam mewakili keluarga Zara dan peguam mewakili pesalah kanak-kanak dalam kes buli membabitkan lima remaja yang dikaitkan dengan kematian Zara di Mahkamah Kanak-Kanak dijangka mengemukakan semula permohonan di hadapan Koroner Amir Shah, hari ini.

Permohonan untuk menjadi pihak berkepentingan bagi membolehkan peguam masing-masing membabitkan diri dalam prosiding inkues, termasuk mengemukakan soalan kepada saksi yang dipanggil pihak pendakwa raya yang bertindak selaku Pegawai Pengendali.

Peguam keluarga arwah Zara Qairina sebelum ini tidak bersetuju apabila peguam mewakili pesalah kanak-kanak memohon untuk menjadi pihak berkepentingan dalam inkues itu kerana mengganggap pertarungan mereka ialah di Mahkamah Kanak-Kanak.

Prosiding inkues dijadual bermula hari ini dan esok, sebelum disambung pada 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September ini. – Info X