TAWAU: Kertas siasatan berhubung seorang wanita berusia 23 tahun yang didakwa mengeluarkan ucapan berbaur hasutan ketika menghadiri Himpunan Solidariti ‘Justice For Zara’, Ahad lalu, akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) selewat-lewatnya minggu depan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata langkah itu bagi mendapatkan arahan lanjut berhubung kes berkenaan.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya menerima sebanyak 28 laporan awam yang tidak bersetuju dengan kenyataan suspek yang juga mahasiswa sebuah universiti di negeri ini.
“Rakaman percakapan suspek serta saksi berkaitan sudah diambil dan beberapa tindakan lain turut dilaksanakan.
“Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai proses berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jasmin berkata, polis akan mencadangkan supaya wanita terbabit dituduh mengikut undang-undang dan akta berkaitan.
Sebelum ini, suspek ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari, Isnin lalu, di kawasan Batu 4, Jalan Apas, selepas dikenal pasti hasil siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam pada itu, Jasmin menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menimbulkan kegusaran masyarakat melalui ucapan, khususnya di tempat terbuka.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam atau menyentuh sensitiviti pihak tertentu,” katanya. – Info X