Search

Inkues kematian Zara: Jenazah arwah mereput tahap sederhana hingga lanjut, tapi masih baik

September 3, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner, di sini, diberitahu jenazah arwah Zara Qairina Mahathir mengalami tahap pereputan sederhana hingga lanjut selepas dikeluarkan semula dari kuburnya untuk proses bedah siasat pada 9 Ogos lalu.

Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu, berkata tahap pereputan tubuh arwah adalah konsisten dengan tempoh pengebumian dalam tanah.

Bagaimanapun, katanya keadaan jenazah arwah, kecuali otak masih dalam keadaan baik dan membolehkan bedah siasat dijalankan dengan baik.

“Walaupun badan telah mereput, tisu-tisu kecuali otak masih agak utuh, membolehkan pemeriksaan luaran dan dalaman serta pendokumentasian kecederaan dijalankan,” katanya.

Beliau membacakan keterangan bertulisnya pada inkues kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner, di sini, petang ini.

Penggalian semula jenazah arwah dijalankan pada 9 Ogos lalu di Tanah Perkuburan Tanjung Ubi Mesapol, Sipitang.

Dr Jessie berkata, pengecaman jenazah disahkan oleh ibunya, Noraidah Lamat selepas proses penggalian semula dan sebelum pemeriksaan bedah siasat di HQE, manakala pemeriksaan bedah siasat dijalankan pada 10 Ogos 2025 bermula jam 11.25 pagi di Jabatan Perubatan Forensik, HQE.

“Saya melakukan pemeriksaan bersama Pakar Perubatan Forensik HQE, Dr Muhammad Uzair Ahmad Suriani dan Pakar Perubatan Forensik Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Dr Khairul Anuar Zainun,” katanya.

Mereka dibantu Pegawai Perubatan di Jabatan Perubatan Forensik, HQE, Dr Lau Cheng selain disaksikan tiga anggota polis dengan dibantu seorang jurugambar polis, manakala peguam Shahlan Jufri mewakili keluarga.

Dr Jessie berkata, pemeriksaan luaran dan dalaman mendapati terdapat koyakan yang telah dijahit di bahagian belakang kepala tanpa patah tulang tengkorak atau muka, manakala otak menunjukkan perubahan cair akibat pereputan dan tidak dapat dinilai.

“Bahagian bawah lengan kiri, pergelangan tangan kiri, tangan kiri dan jari kelima kiri lebam dengan kecacatan akibat patah tulang radius distal kiri dan terkehel sendi pergelangan tangan.

“Terdapat lebam di buku lali kanan dengan patah berbilang tulang tibia distal kanan melibatkan sendi buku lali, koyakan pada kaki kiri, lebam di buku lali kiri dan kaki kiri dengan patah berbilang dan serong pada tibia distal kiri, patah berbilang tulang calcaneum kiri, terkehel sendi buku lali kiri, patah pada vertebra lumbar kedua hingga keempat, hematoma otot Psoas kiri dan hematoma terhad pada tisu pelvis retroperitoneum.

“Kecederaan ini konsisten dengan rekod perubatan, laporan CT Scan, CTA Scan dan sinar-X si mati,” katanya. – Info X