KOTA KINABALU: Sabah FC kekal dengan sasarannya untuk meletakkan diri dalam kalangan lima pasukan terbaik Liga Super musim ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata selepas tiga perlawanan, masih terlalu awal untuk menilai pencapaian Sang Badak.
Pemain katanya masih ada masa untuk meningkatkan prestasi bagi memastikan sasaran ‘top 5’ itu mampu dicapai.
“Masih awal lagi untuk membuat penilaian, tapi sasaran kita kali ini tetap ‘top five,” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis pelancaran jersi baharu bertemakan ‘The Rise of the Rhinos’ menerusi kerjasama Sabah FC dengan jenama sukan terkemuka, Adidas, di sini, pada Khamis.
Mengenai persembahan Sang Badak dalam Liga Super setakat ini, beliau berkata Sabah sepatutnya mampu mengutip mata penuh ketika menentang Melaka FC di Stadium Likas, baru-baru ini.
“Sepatutnya (pada perlawanan menentang Melaka) kita dapat tiga mata penuh tetapi keadaan belum menyebelahi kita.
“Bagaimanapun, kita nampak keserasian dalam kalangan pemain sudah mula ada dan nampak ada peningkatan yang baik,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai harapan beliau untuk perlawanan pusingan 16 Piala FA bertemu Bunga Raya FC 13 September ini, Shahelmey berharap pemain dapat menampilkan aksi bertenaga untuk meraih kemenangan penuh.

“Harapan kita tiada lain, kita mahu menang untuk layak ke peringkat seterusnya,” katanya.
Terdahulu, Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah menyifatkan kerjasama Sabah FC dengan Adidas sebagai satu pengiktirafan terhadap pembangunan bola sepak di negeri ini.
“Kerjasama ini membuktikan keyakinan Adidas terhadap potensi Sabah FC. Ia bukan saja satu pencapaian penting, malah suntikan semangat buat seluruh pasukan menjelang musim baharu,” katanya.
Katanya, jersi rasmi musim ini bukan sekadar pakaian di padang, sebaliknya menjadi simbol semangat, penyatuan dan kebanggaan buat seluruh rakyat Sabah.
“Kita mengajak seluruh penyokong untuk sama-sama memakai jersi ini sebagai tanda sokongan, tidak kira di stadium mahupun di luar padang,” katanya.
Majlis pelancaran turut diserikan dengan sesi ramah mesra bersama pemain Sabah FC di Sportmart Suria Sabah. – Info X