Search

PRN17: Tiada kerjasama BN-GRS – Ahmad Zahid

September 5, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) dan UMNO Sabah memutuskan tiada kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata BN hanya bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

“Setelah meneliti semua fakta dan butiran daripada perbincangan tiga pihak sebelum ini, saya telah menyampaikan keputusan kepimpinan UMNO bahawa kami mengekalkan kerjasama BN-PH.

“Namun, BN Sabah dan UMNO Sabah memutuskan secara muktamad bahawa tidak akan ada kerjasama dengan GRS,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Biro Politik UMNO Sabah, di sini, malam tadi.

Presiden UMNO itu menghadiri mesyuarat Biro Politik UMNO Sabah di Bangunan UMNO Sabah, di sini, malam tadi untuk memaklumkan mengenai pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin GRS, baru-baru ini.

Jelasnya, pertemuan kepemimpinan dalam Kerajaan Perpaduan yang terbabit dalam PRN17 Sabah itu diadakan di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

“Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat berkenaan selaku Pengerusi Kerajaan Perpaduan, Kerajaan Madani.

“Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Datuk Seri Hajiji Noor, bersama-sama tiga orang pemimpin parti dalam gabungan GRS, pemimpin parti dalam gabungan PH serta pemimpin daripada UMNO,” katanya.

Katanya, dalam perbincangan itu, Perdana Menteri menyatakan supaya seboleh mungkin dielakkan pertandingan tiga penjuru atau pertindihan kerusi yang akan dimuktamadkan.

Berikutan itu, Ahmad Zahid berkata, mereka bersetuju untuk membentuk jawatankuasa teknikal yang mewakili GRS, BN dan PH dengan beberapa siri rundingan telah dilakukan sama ada di Kota Kinabalu ataupun di Kuala Lumpur.

“Maka, merujuk kepada perbincangan yang telah diadakan tadi, saya bersama-sama dengan rakan kepimpinan UMNO telah menyampaikan keputusan kepada ahli Jawatankuasa Biro Politik UMNO Sabah,” katanya.

Katanya, keputusan BN dan UMNO Sabah tidak akan bekerjasama dengan GRS adalah muktamad.

Sementara itu, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata keputusan itu dialu-alukan kepemimpin UMNO dan BN Sabah.

“InsyaAllah kita akan menggerakkan seluruh jentera kita untuk memastikan calon BN akan dapat memenangi kerusi ditandingi pada PRN Sabah nanti.

“Kami cukup yakin dengan kerja keras yang telah kami usahakan bertahun-tahun ini dan dengan kebolehan jentera kami di bawah dengan sistem dan struktur parti kami yang kukuh.

“Kami percaya bahawa UMNO BN akan dapat meletakkan diri sebagai parti yang dominan selepas pilihan raya nanti,” katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, banyak faktor yang menyebabkan BN dan UMNO Sabah tidak dapat bekerjasama dengan GRS.

Antaranya, beliau berkata, isu pertindihan kerusi berikutan banyak kerusi yang ditandingi BN juga diminta oleh GRS.

“Jadi pada saya itu adalah satu perkara yang tidak boleh dibincang sebab perundingan ini mesti berjalan.

“Apabila prinsip itu kita persetujui iaitu mana-mana kerusi yang dimenangi oleh parti yang berunding itu perlu dipertahankan dahulu,” katanya.

Selain itu, katanya kegagalan GRS melaksanakan tanggungjawab sebagai kerajaan juga dijadikan pertimbangan sebelum memutuskan kerjasama.

Beliau mendakwa selama lima tahun mengurus negeri, tiada daerah dalam senarai lapan daerah termiskin di negeri ini gagal dikeluarjan dari status itu.

“Negeri Sabah masih kekal dalam carta negara sebagai negeri termiskin, selepas itu gagal mengurus hasil-mahsul kekayaan negeri Sabah.

“Pengurusan mineral sehingga timbul video, permintaan, duit dan sebagainya, gagal mengurus isu Zara.

“Pada peringkat awalnya gagal memberi prasarana kepada rakyat seperti agihan air bersih, gagal mengurus elektrik, gagal mengurus jalan raya,” katanya.

Sehubungan itu, katanya UMNO Sabah amat bersetuju keputusan yang dimuktamadkan itu dan bersedia menggalas amanah serta tanggungjawab pada PRN17.

Mengenai agihan kerusi dengan PH, beliau berkata perkara itu akan dimuktamadkan melalui perbincangan dengan kepemimpinan PH dengan jangkaan BN menguasai lebih separuh daripada 73 kerusi.

Ends