SANDAKAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetap mahu meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sejajar keputusan Majlis Tertinggi gabungan itu yang meluluskan perkara berkenaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pendirian itu tidak berubah walaupun Barisan Nasional (BN) turut menyatakan mengekalkan kerjasama dengan PH untuk menghadapi PRN17.
Katanya, perkara itu terpulang kepada BN meskipun BN dan UMNO Sabah sudah memuktamadkan keputusan tidak akan bekerjasama dengan GRS.
“Itu terpulang kepada BN atau UMNO tetapi untuk makluman kita di GRS telahpun putuskan melalui mesyuarat Majlis Tertinggi GRS bahawa kerjasama kita dalam kerajaan sekarang ini kita teruskan bersama PH,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri, di sini, pada Jumaat.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS ditanya mengenai keputusan muktamad BN dan UMNO Sabah yang tidak akan bekerjasama dengan GRS pada PRN17 nanti.
Beliau menyifatkan situasi politik seumpama itu sejajar dengan amalan demokrasi dan menjadi perkara biasa dalam politik di Sabah.
“Kita mengamalkan demokrasi, jadi melihat keadaan politik di Sabah ini ia agak unik. Ini bukan baharu berlaku di Sabah, dulu satu pihak di sini, dalam BN pembangkang dan di peringkat Pusat ia bersama.
“Jadi Ini biasa dalam politik, terutama di Sabah,” katanya. – Info X