BEAUFORT: Cubaan seorang lelaki menjadi ‘runner’ bagi sindiket minuman keras seludup tidak kesampaian apabila dia dicekup Pasukan Polis Marin (PPM) dalam Operasi Taring Landai Khas, di daerah ini, semalam.
Dalam serbuan jam 9 pagi itu, PPM Wilayah 4 Sabah turut membongkar sebuah stor di lot kedai yang dijadikan tempat simpanan minuman keras tanpa cukai selepas menahan suspek bersama kenderaan pacuan empat roda dipandunya.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, hasil risikan berterusan membawa kepada penahanan lelaki terbabit bersama kenderaan Toyota Hilux yang dipenuhi minuman keras tidak bercukai.
“Suspek dipercayai berperanan sebagai pembekal atau ‘runner’ bagi mengedar minuman keras seludup ke pasaran gelap tempatan.
“Hasil soal siasat membawa kepada serbuan kedua di sebuah lot kedai yang dijadikan stor simpanan minuman keras tidak bercukai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, keseluruhan rampasan membabitkan 5,136 tin minuman keras pelbagai jenama dengan nilai anggaran RM174,250.90.
“Turut disita iaitu sebuah kenderaan pacuan empat roda yang digunakan suspek.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata PPM Wilayah 4 Sabah akan terus komited membanteras jenayah penyeludupan yang menggugat keselamatan dan kesejahteraan negara.
“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti jenayah boleh menyalurkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X