Search

Aura AF9 kembali, Nera bawa ‘Hatiku Milikmu’ di pentas Kilauan Emas 2025

September 7, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Penyanyi dan penyampai radio KupiKupi FM, Queennera Francine atau lebih dikenali sebagai Nera, mengubat kerinduan peminat apabila muncul dengan persembahan penuh nostalgia di pentas Kilauan Emas 2025.

Menyampaikan lagu Hatiku Milikmu yang pernah dipopularkannya ketika menyertai Akademi Fantasia 9 (AF9) pada 2011, Nera tampil dengan penghayatan berbeza, mempamerkan kematangan vokal selain aura seni yang masih kekal sehingga kini.

Menerusi satu hantaran di Instagram, Nera mengakui lagu tersebut mempunyai erti yang tersendiri buat dirinya.

“Dengar lagu ni mesti kamu flashback zaman dulu-dulu kan,” katanya yang dijemput membuat persembahan pada program itu di Kuala Lumpur.

Persembahan itu mendapat tepukan gemuruh penonton yang hadir di studio, manakala peminat di media sosial memuji kemampuan Nera menyampaikan lagu tersebut.

Nera mengubat kerinduan peminat apabila muncul dengan persembahan penuh nostalgia di pentas Kilauan Emas 2025.

“Alhamdulillah terubat rindu lihat Hatiku Milikmu Nera AF,” kata seorang peminat melalui komen di YouTube.

Malam yang sama turut menampilkan seorang lagi artis asal Sabah, Adira Suhaimi dari AF 8, yang menyanyikan lagu Ku Ada Kamu.

Kehadiran dua bintang alumni AF itu memberi nilai tambah kepada program tersebut yang disiarkan oleh Astro.

Kilauan Emas 2025 disiarkan setiap Sabtu pada jam 9 malam, menerusi saluran Astro Prima, Sooka dan Astro Go. – Info X