KOTA KINABALU: Seorang pekerja sebuah kedai farmasi di Jalan Gaya, di sini, cedera di tapak tangan kanan selepas bergelut dengan remaja lelaki yang cuba menyamun premis berkenaan, semalam.
Dalam kejadian jam 4.41 petang itu, suspek berusia belasan tahun masuk ke dalam farmasi sambil mengacu pisau ke arah mangsa dan mengarahkan supaya mesin wang tunai dibuka.
Mangsa yang cuba melawan kemudian mengalami kecederaan selepas bergelut untuk merampas senjata berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, orang awam yang menyedari kejadian itu segera membantu sebelum berjaya menahan suspek di lokasi.
“Suspek kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Ujian saringan air kencing juga negatif,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata sehingga menyebabkan kecederaan.
Beliau merakamkan penghargaan kepada orang awam yang membantu menahan suspek dan mengingatkan masyarakat supaya berhati-hati serta segera menghubungi polis sekiranya berdepan kejadian jenayah. – Info X