Search

Inkues kematian Zara: Jabatan Kimia periksa 21 kertas bertulisan tangan, buku milik arwah

September 8, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner diberitahu sebanyak 21 beg barang kes Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengandungi kertas bertulisan tangan diserahkan kepada Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya, Selangor.

Pemeriksa Dokumen di Bahagian Pemeriksaan Dokumen, Pusat Analisis Sains Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya, Nurul Atiqah Mohd Noh memberitahu perkara itu selaku saksi kedua inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, hari ini.

Beliau berkata, semua dokumen bertanda W1 hingga W6, Y1 hingga Y7 dan Y9 hingga Y15 bermeterai Polis Diraja Malaysia 314, selain satu Borang Polis 31 bernombor aduan Kinarut 1776/25 itu diterima pada jam 8.37 pagi, 20 Ogos lalu.

Nurul Atiqah juga membuat pengecaman semula dokumen terbabit yang berupa helaian kertas mengandungi tulisan tangan yang ditanda ‘Y’, selain buku latihan, buku kerja dan buku nota milik arwah Zara Qairina yang ditanda ‘W’ ketika prosiding.

Prosiding hari ini bermula pada kira-kira jam 9.20 pagi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan dengan Dana Arabi Wazani selaku pegawai pengendali yang menyoal saksi.

Nurul Atiqah, 44 memiliki pengalaman kerja selama 21 tahun sebagai pegawai sains di Jabatan Kimia Malaysia.

Tugas beliau ialah menerima kes dan menyediakan laporan kimia serta menjalankan pemeriksaan dokumen yang dipertikaikan membabitkan pemeriksaan seperti tandatangan, tulisan tangan, tulisan taip, pindaan, proses percetakan, kertas dan dakwat.

“Saya juga pernah memberi keterangan di mahkamah apabila diperlukan. Sepanjang pengetahuan saya, keterangan saya diterima oleh mahkamah,” katanya dalam keterangan yang dibacanya.

Beliau berkata, tulisan tangan dalam dokumen terbabit diperiksa dan dibuat perbandingan dengan contoh yang ada bagi menentukan sama ada tulisan dalam dokumen terbabit milik arwah Zara Qairina atau bukan. – Info X