KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, dijangka lebih menarik esok apabila pasukan peguam bela diberi kebenaran membawa patung (mannequin) baru bagi melakukan simulasi jatuhan di lokasi kejadian.
Peguam, Joan Goh, berkata, mannequin berkenaan dipilih kerana lebih mirip dengan keadaan fizikal arwah yang memiliki ketinggian dan berat hampir sama.
“Mahkamah meluluskan permohonan kami untuk membawa mannequin ini. Kami akan mengalokasi berat yang diperlukan bagi memastikan ia menyerupai keadaan sebenar.
“Simulasi akan dilakukan di blok asrama sekolah tempat arwah ditemui sebelum ini, dengan beberapa ujian berbeza bagi mendapatkan gambaran lebih jelas,” katanya ketika ditemui media selepas selesai prosiding inkues kematian Zara di Mahkamah Koroner, hari ini.
Joan berkata, dua ujian utama akan dilaksanakan iaitu jatuhan pertama tanpa tolakan dan kedua dengan sedikit tolakan.
“Tujuannya untuk menunjukkan perbezaan jarak. Jika ditolak, apa jauhnya, dan jika dilepaskan tanpa tolakan, apa pula jaraknya,” katanya.
Beliau menambah, ujian tambahan turut dijalankan menggunakan mannequin berpakaian tracksuit dan t-shirt nipis dengan berat sekitar 53 kilogram serta ketinggian 154 sentimeter, hampir menyamai keadaan sebenar arwah.
Prosiding di hadapan Koroner Shah Amir Hassan itu akan bersambung esok di lokasi kejadian sebelum kembali ke mahkamah untuk mendengar keterangan Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu. – Info X