Search

Peguam mohon himpunan awam untuk solidariti Zara dihenti sementara

September 13, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pasukan peguam mewakili ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir memohon supaya semua bentuk perhimpunan aman sebagai solidariti terhadap arwah dihentikan sementara sehingga prosiding inkues kematiannya selesai.

Menerusi satu kenyataan pada Sabtu, peguam ibu arwah menjelaskan perkara itu adalah selaras dengan hasrat anak guam mereka, Noraidah Lamat, iaitu ibu arwah Zara.

Mereka turut meminta agar semua pihak berhati-hati memberikan kritikan atau komen di media sosial berkaitan prosiding inkues dan bukti yang dikemukakan di Mahkamah Koroner.

“Kami menghargai sokongan orang ramai melalui perhimpunan aman solidariti Justice For Zara dan sumbangan dana bagi menampung kos-kos pelantikan pakar-pakar dalam pelbagai bidang bagi anak guam kami iaitu ibu Zara dalam inkues ini. Terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan.

“Kami juga sedia maklum bahawa beberapa individu telah ditangkap dan didakwa di mahkamah berhubung ucapan di perhimpunan atau komen di media sosial berkaitan gelombang Justice For Zara.

“Kami dan anak guam kami tidak mahu slogan atau nama Zara dicemari oleh tindakan pihak tidak bertanggungjawab.

“Sehubungan itu, kami berpandangan semua bentuk perhimpunan aman wajar ditangguhkan sementara sehingga prosiding inkues selesai, selaras dengan hasrat ibu Zara.

“Kami memohon agar semua pihak berhati-hati ketika memberi kritikan dan komen di sosial media tentang prosiding inkues dan bukti-bukti yang dikemukakan. Ini penting bagi mengelakkan risiko subjudice dan gangguan dalam perjalanan prosiding inkues,” katanya.

Pasukan peguam ibu arwah terdiri daripada Rizwandean M Borhan, Shahlan Jufri, Mohd Syarulnizam Mohd Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.

Mereka berpendapat sebarang himpunan solidariti boleh diteruskan setelah prosiding inkues selesai sepenuhnya.

“Buat masa ini, marilah kita memberi ruang kepada mahkamah untuk menjalankan tugasnya. Dengan kesabaran dan kepercayaan kepada proses kehakiman, kebenaran akan terserlah dan keadilan akan dicapai,” katanya. – Info X