KOTA KINABALU: “Kami hanya mampu berpelukan bila rumah tiba-tiba bergoyang sebelum menggelongsor ke bawah.
“Ketika itu saya sempat berkata kepada anak, biarlah kita mati bersama sambil berpelukan,” kata Molly Antutu, 42, yang terselamat bersama anak perempuannya dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Kopungit, Kepayan, malam tadi.
Dalam kejadian jam 8.45 malam itu, Molly bersama anaknya, Syamimi, 14, berada di dalam rumah sebelum dikejutkan dengan dentuman kuat diikuti pergerakan tanah menyebabkan kediaman mereka musnah 100 peratus.
Molly berkata, saat itu hanya kematian yang difikirkan, namun takdir Tuhan menyelamatkan mereka.
“Beberapa saat selepas itu, mereka menyedari ditindih kepingan zink rumah yang tergelongsor lalu menolaknya sebelum merangkak keluar.
“Syukur jiran segera datang membantu kami keluar dari runtuhan sebelum menghubungi pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui di Dewan Kopungit, tempat mereka dipindahkan sementara.

Dalam kejadian itu, Molly cedera ringan di kaki kanan manakala anaknya tidak mengalami kecederaan serius.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.15 malam.
Katanya, sepasukan lima anggota kemudian digerakkan ke lokasi dan tiba kira-kira 20 minit kemudian.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota membuat penilaian dan mendapati sebuah rumah telah musnah sepenuhnya disebabkan runtuhan. Lebar runtuhan anggaran 15 meter dan ketinggian 25 meter.
“Bagaimanapun dua penghuni selamat dan sempat menyelamatkan diri. Anggota segera memeriksa kecederaan mangsa di kaki kanan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, katanya terdapat dua runtuhan lain berhampiran kawasan kejadian dan operasi pemantauan masih dijalankan bagi memastikan keselamatan penduduk. – Info X