KOTA KINABALU: Dua mangsa terakhir dalam kejadian tanah runtuh yang meranapkan sebuah rumah dekat Kampung Cenderakasih, Kolombong, di sini, ditemui selepas kira-kira lima jam pencarian sejak pagi tadi.
Mangsa ialah dua beranak, masing-masing ibu, Maslina Abdul Halid, 29 yang ditemui pada jam 3.40 petang dan anaknya, Mohd Noriman Abdullah, 9, ditemui pada jam 3.20 petang, menjadikan semua tujuh mangsa sekeluarga yang dikhuatiri tertimbus ditemui sepenuhnya, petang ini.
Sebelum itu, lima mangsa ditemui antara jam 12.30 tengah hari tadi hingga jam 2.20 petang hasil pencarian yang membabitkan pelbagai agensi.
Mangsa pertama dikenali sebagai Husaima Sarabani, 50, ditemui pada jam 12.30 tengah hari tadi, manakala empat lagi mangsa ditemui ketika pencarian pasukan mencari dan menyelamat pada sebelah petang.
Empat mangsa terbabit, masing-masing dua kanak-kanak adik beradik dikenali sebagai Mohd Ilham Abdullah, 2 dan Siti Khadijah Abdullah, 4, manakala seorang lagi kanak-kanak, Mohd Izzan Gandi, 7 ialah sepupu mereka.
Seorang lagi yang ditemui ialah datuk mereka, Abdul Halid Darak, 50.
Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata operasi pencarian disertai seramai 20 anggota bomba dan 30 anggota polis, selain 15 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Katanya mangsa tertimbus antara dua ke tiga meter di bawah runtuhan rumah dan tanah bercampur sampah yang tebal, menyukarkan operasi pencarian.
“Mangsa tertimbus antara dua ke tiga meter dan kita terpaksa menggunakan tenaga manusia untuk menggali di bawah timbunan tanah dan sampah yang dianggarkan antara 20 hingga 30 tan.
“Kita berusaha menjejaki mangsa yang masih hilang sebelum hari gelap dan kita berharap tiada lagi runtuhan baharu di lokasi kejadian,” katanya ditemui di lokasi kejadian. – Info X