Search

2 beranak ditemui meninggal dunia akibat tanah runtuh di Kampung Mook, Kinarut

September 15, 2025

Info X Reporters

PAPAR: Dua beranak maut selepas dilaporkan tertimbus tanah runtuh dalam kejadian di Kampung Mook, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, kejadian difahamkan melibatkan tiga rumah yang ranap sepenuhnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 10.02 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, kejadian tanah runtuh telah menghempap tiga buah rumah penduduk sehingga ranap.

“Terdapat dua orang mangsa tertimbus dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut hadir membantu di lokasi kejadian.

Katanya, setakat ini, identiti kedua-dua mangsa masih belum dapat diperolehi dan mayat mangsa sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi ditamatkan padanjam 2.25 petang namun pemantauan berterusan akan dijalankan dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X