KOTA KINABALU: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman mengingatkan pemimpin negeri supaya mengatasi kepentingan sempit demi masa depan Sabah.
Dalam perutusannya sempena sambutan Hari Malaysia, hari ini, beliau turut menujukan peringatan itu kepada mereka yang bercita-cita mahu menjadi wakil rakyat.
“Saya menyeru semua rakyat Malaysia, khususnya mereka yang memegang jawatan kepimpinan atau bercita-cita menjadi wakil rakyat, agar mengatasi kepentingan sempit.
“Janganlah mengejar keuntungan politik dengan menimbulkan perpecahan kaum atau agama dalam sebuah masyarakat yang harmoni,” katanya.
Tun Musa berkata, perpaduan adalah asas yang membolehkan Malaysia kekal stabil dari segi politik dan terus maju sebagai sebuah negara.
Katanya, Sabah dan Sarawak memainkan peranan yang besar dalam pembentukan dan pembangunan Malaysia.
“Kedua-dua negeri telah menyumbang secara signifikan kepada kestabilan politik, pertumbuhan sosio ekonomi serta kepelbagaian budaya negara kita.
“Namun begitu, kita juga harus mengakui bahawa masih banyak yang perlu dilakukan, khususnya di Sabah, untuk mengurangkan jurang ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Usaha mesti diteruskan bagi memastikan pembangunan dan peluang sampai ke setiap pelosok negeri agar tiada siapa yang tertinggal,” katanya.
Beliau berkata, Sabah yang lebih kuat akan menjadikan Malaysia lebih kukuh.
Tun Musa turut menegaskan tiada ruang untuk sikap fanatik perkauman atau agama di negara ini jika ingin maju bersama sebagai satu bangsa.
“Sabah sendiri adalah contoh teladan kepada toleransi dan keharmonian, di mana masyarakat berbilang etnik dan agama hidup bersama dalam keadaan aman.
“Tradisi saling menghormati dan menerima perbezaan ini perlu terus dipelihara serta diperkukuhkan demi generasi akan datang,” katanya.
Sementara itu, Tun Musa dan isteri, Toh Puan Faridah Tusin turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban akibat banjir dan tanah runtuh disebabkan hujan berterusan di banyak kawasan di Sabah.
Katanya, banjir besar yang berlaku bukan saja meragut nyawa tetapi turut mengakibatkan kerosakan kepada kediaman, perniagaan, dan infrastruktur.
“Dalam masa yang sukar ini, saya menyeru semua komuniti yang terjejas agar sentiasa berhati-hati, berwaspada dan mematuhi nasihat serta amaran pihak berkuasa.
“Marilah kita bersama-sama menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, agar proses pemulihan dan pembinaan semula dapat dilaksanakan melalui semangat ketabahan dan perpaduan kita.
“Inilah semangat gotong royong yang telah menjadi amalan kita sejak dari dahulu lagi. Pada Hari Malaysia ini, marilah kita memperbaharui komitmen kepada solidariti, keadilan dan kemakmuran.
“Bersama-sama, dengan saling menghormati dan tujuan yang dikongsi bersama, kita akan terus membina sebuah Malaysia yang aman, progresif dan tidak mudah goyah. Selamat Hari Malaysia,” katanya. – Info X