KOTA KINABALU: Kerajaan akan melancarkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) bulan depan, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.
Beliau berkata, penubuhan TPNS itu bagi membolehkan lebih ramai anak-anak Sabah berpeluang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi, sama ada dalam atau luar negara.
“Penubuhan TPNS adalah salah satu inisiatif dalam Pelan Strategik Transformasi Kumpulan Yayasan Sabah 2015-2023.
“Usaha berkenaan juga selaras dengan salah satu teras Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu meningkatkan pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Guru peringkat negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 9 Dis 2021 sebulat suara telah meluluskan Enakmen Kumpulan Wang Amanah Kerajaan (Pindaan) 2021, yang
memperuntukkan dana untuk Pendidikan di Sabah.
Enakmen berkenaan berkuat kuasa
pada 1 Jan 2022.
Hajiji berkata, beberapa inisiatif dilaksanakan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) selepas mengambil alih tampuk pemerintahan sebagai usaha menyokong pembangunan pendidikan di negeri ini.
“Ini termasuk menyumbang sebanyak 10,000 komputer riba kepada pelajar
tingkatan lima dan enam di Sabah. Dalam Belanjawan Sabah 2022, kerajaan turut
memperuntukkan bantuan sosial sekolah seperti pakaian seragam, kasut dan alat tulis
yang membabitkan 289,204 murid dengan peruntukkan sebanyak RM13.9 juta.
“Kerajaan negeri juga komited dalam meneruskan lagi dua bentuk bantuan khas pendidikan yang diperkenalkan pada tahun 2021 iaitu Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) dan Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) yang melibatkan peruntukkan sebanyak RM17.5 juta,” katanya sambil menambah seramai 5,000 pelajar telah mendapat bantuan BUDI dan seramai 40,000 pelajar menikmati bantuan BAKTI pada
tahun lalu.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri telah memperkenalkan bantuan dana bagi lebih 1,500 PIBG sekolah di Sabah dalam inisiatif yang dinamakan BAGUS dan bantuan
bagi peralatan komputer di sekolah-sekolah yang dinamakan BISBAH.
“Kita turut memberi tumpuan kepada sekolah vernakular dan badan agama bukan Islam di negeri ini, dengan sejumlah RM47 juta diperuntukkan untuk badan agama bukan Islam serta untuk sekolah vernakular, mubaligh dan sekolah persendirian di
Sabah pada tahun ini.
“Ia mencerminkan keikhlasan kerajaan untuk memastikan
kebajikan semua kaum dan agama di Sabah akan terjaga,” katanya. – Info X