SANDAKAN: Tiga nelayan warga Filipina berjaya diselamatkan manakala seorang maut selepas bot yang dinaiki mereka terbakar berhampiran Pulau Taganak, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sabah, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, kejadian jam 2.05 petang itu dikesan Kapal Maritim (KM) Banggi yang sedang belayar ke Sandakan apabila ternampak kepulan asap hitam kira-kira lima batu nautika timur laut perairan Filipina.
Katanya, pasukan penyelamat segera digerakkan dan pada jam 2.52 petang, sebuah bot sepanjang lima meter diturunkan sebelum menemui tiga mangsa berpaut pada serpihan kayu.
“Ketiga-tiga mangsa berjaya diselamatkan, namun seorang daripadanya disahkan meninggal dunia di lokasi.
“Mereka dikenal pasti sebagai Hajar Ganih yang cedera di kedua-dua kaki, Adamin (selamat) dan Fattah Asa (meninggal dunia),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, seorang mangsa memaklumkan lapan lagi kru bot sudah diselamatkan bot tempatan dan dibawa ke Pulau Bakungan Besar.
Katanya, KM Banggi kemudian menuju ke Pulau Taganak bagi menyerahkan mangsa kepada pihak berkuasa Filipina dengan kerjasama Municipal Disaster Risk Reduction and Management Office (MDRRMO) serta Tentera Laut Filipina.
“Pada jam 6.14 petang, lima anggota Pengawal Pantai Filipina diketuai Ens. Datu Halun menerima tiga mangsa daripada KM Banggi yang diketuai Komander Maritim Mahathir Mohammad.
“Penyerahan selesai jam 6.34 petang dengan lancar dan teratur,” katanya.
Khairulanuar berkata, kejayaan operasi itu membuktikan kecekapan aset APMM dalam memberi tindak balas pantas terhadap kecemasan maritim selain memperkukuh kerjasama dengan negara jiran. – Info X