Search

Inkues kematian Zara: Ibu arwah buat keputusan tidak mahu bedah siasat dijalankan

September 17, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir membuat keputusan tidak mahu mayat arwah dibedah siasat walaupun sudah diterangkan mengenai kepentingan proses itu oleh doktor forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada petang 17 Julai lalu.

Saksi ketujuh inkues kematian arwah Zara, Dr Logaraj Ratha, memberitahu perkara itu kepada Mahkamah Koroner pada prosiding hari kelapan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan yang bersambung hari ini, di sini.

Beliau berkata, ada berjumpa dengan ibu kandung Zara iaitu Noraida Lamat dan seorang ahli keluarga, Nur Shira Abdullah iaitu kakak ipar kepada Noraida.

“Saya memaklumkan kepada Puan Noraida bahawa pihak polis tidak mengeluarkan borang Pol. 61 iaitu borang Permintaan Pemeriksaan Mayat.

“Kemudian, saya cuba mendapatkan maklumat lanjut mengenai kematian Zara. Saya juga telah menerangkan kepada Puan Noraida dan disaksi oleh Puan Shira mengenai keperluan serta kepentingan bedah siasat.

“Walaupun borang Pol. 61 iaitu
borang Permintaan Pemeriksaan Mayat tidak dikeluarkan oleh pihak polis, proses bedah siasat klinikal sebenarnya masih boleh dijalankan tetapi tertakluk dengan kebenaran waris terdekat.

“Walau bagaimanapun, pihak waris, Puan Noraida membuat keputusan untuk bedah siasat tidak dijalankan ke atas jenazah Zara, walaupun penerangan telah diberikan,” katanya ketika membacakan kenyataan bertulis saksi.

Sebelum itu, Dr Logaraj menerangkan mengenai urusan dengan pihak polis memandangkan kes itu membabitkan pegawai penyiasat polis, Inspektor Wong Yew Zhung.

“Memandangkan kes ini melibatkan siasatan polis, saya telah memaklumkan perkara tersebut kepada Pakar Patologi Forensik yang bertugas pada masa itu, iaitu Dr Ding Chee Swan.

“Saya juga telah menghubungi Pegawai Penyiasat Polis bagi kes
ini, Inspektor Wong Yew Zhung daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar.

“Inspektor Wong memaklumkan bahawa beliau telah berjumpa dengan Dr Pavankumar Balachandran, pegawai perubatan yang bertugas di Jabatan Neurosurgeri.

“Dr Pavankumar mengesahkan bahawa punca kematian Zara adalah akibat Severe Traumatic Brain Injury with Hypoxic Ischemic Encephalopathy. Inspektor Wong turut memaklumkan bahawa beliau akan berbincang dengan pegawai atasan sebelum memberi maklum balas lanjut,” katanya.

Katanya, beliau kemudian dimaklumkan oleh Inspektor Wong bahawa pihak polis tidak akan mengeluarkan borang Pol 61 iaitu borang Permintaan Pemeriksaan Mayat dan pihak hospital boleh menyerahkan jenazah Zara kepada keluarganya tanpa melalui proses bedah siasat mediko-legal.

“Bagi pelepasan jenazah, saya telah menerima surat pelepasan atau kebenaran penyerahan jenazah daripada Inspektor Wong agar jenazah Zara diserahkan kepada Puan Noraida tanpa melalui proses bedah siasat mediko-legal,” katanya.

Sementara itu, katanya selepas mendapat keputusan enggan bedah siasat daripada pihak waris beliau telah menyerahkan Surat Akuan Enggan bedah Siasat Mayat Atas Kemahuan Sendiri kepada Noraidah.

“Saya menjelaskan kandungan surat tersebut serta bahagian-bahagian yang perlu diisi. Saya turut menerangkan bahawa tanpa bedah siasat, pihak waris tidak akan dapat membuat sebarang tuntutan atau mendapatkan laporan bedah siasat rasmi berhubung punca kematian pada masa hadapan daripada Jabatan Perubatan Forensik hospital.

“Puan Noraida telah mengisi di bahagian perenggan pertama dan butiran bahagian tandatangan pengenal/penuntut mayat di dalam surat tersebut.

“Puan Nur Shira Abdullah juga
telah mengisi butiran sendiri di bahagian saksi dan menandatangani surat tersebut. Saya telah menandatangani surat tersebut sebagai doktor yang mengendalikan kes ini.

“Puan Noraida mengesahkan bahawa beliau memahami penjelasan dan kandungan surat yang telah diisi dan ditandatangani,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan tiada perkara dibangkitkan, pihak hospital telah menyerahkan jenazah Zara kepada Puan Noraida mengikut polisi hospital dan jabatan. – Info X