Search

Inkues kematian Zara: Ketua warden arah alihkan Zara

September 17, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu diangkat sejurus ketibaan Ketua Warden asrama.

Perkara itu diakui sendiri Ketua Warden, Azhari Abd Sagap yang mengarahkan beberapa pelajar untuk mengangkat tubuh arwah selepas beliau tiba di lokasi kejadian.

Saksi kelapan inkues kematian arwah Zara di Mahkamah Koroner itu berkata beliau mengarahkan supaya arwah diangkat sejurus tiba selepas menerima panggilan daripada pengawal keselamatan.

Katanya, beliau turut membantu mengangkat arwah Zara selepas pelajar yang diarahkan menyatakan tidak larat mengangkat arwah berikutan berat setelah beberapa langkah bergerak.

Azhari memberitahu perkara itu selepas Pegawai Pengendali inkues, Mohd Fairuz Johari bertanya kepada berapa lama arwah terbaring sebelum dialihkan ke tempat lain selepas beliau tiba di lokasi kejadian.

“Dari longkang (lokasi arwah Zara terbaring), beberapa pelajar dan aunty Linah (pengawal keselamatan) mengangkat Zara sebelum saya sambut.

“Saya sambut selepas tiang sebab pelajar yang angkat keberatan. Selepas itu tinggal dua orang pelajar bersama saya angkat,” katanya pada prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Ketika prosiding, Azhari turut menunjukkan cara mengangkat tubuh Zara dengan menggunakan patung.

“Semasa di longkang, saya nampak pelajar yang mengangkat, empat orang termasuk aunty Lina keberatan pada masa itu, sebelum saya sambut bersama dua pelajar (masing-masing jaga kepala dan kaki arwah),” katanya.

Arahan itu katanya dibuat kerana beliau tidak nampak kecederaan Zara sehingga setelah mengangkatnya.

“Selepas diangkat baru saya nampak kecederaan Zara pada bahagian kaki kiri, itu saja saya nampak pada masa itu dan kalau di tempat saya (berada), saya tidak nampak Zara jatuh dari mana sebab pada masa itu baju (arwah) sudah diturunkan dan saya tidak nampak tangan di longkang seperti dalam gambar,” katanya. – Info X