Search

Inkues kematian Zara: Arwah Zara menangis dituduh mencuri

September 17, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner diberitahu Allahyarham Zara Qairina Mahathir menangis dan menjerit ‘aku tidak mencuri bah, bodoh’ selepas ‘disiasat’ pelajar senior mengenai dakwaan mencuri.

Perkara itu diceritakan Ketua Warden, Azhari Abd Sagap selepas diminta peguam Shahlan Jufri menceritakan apa yang diberitahu kepada pegawai penyiasat berhubung siasatan dibuat pihak warden selepas arwah Zara ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu.

Katanya, pelajar memberitahunya bahawa arwah Zara keluar dari bilik asrama bersebelahan biliknya pada malam 15 Julai lalu sambil menangis dan berteriak ‘aku tidak mencuri bah, bodoh’.

Saksi kelapan inkues kematian Zara itu berkata, pada malam 15 Julai lalu seorang pelajar tingkatan satu mengadu kepada ketua biliknya mengenai kehilangan barang sebelum arwah Zara Qairina dipanggil.

“Pada malam itu ada pelajar tingkatan satu mengadu kepada ketua bilik dia yang dia kehilangan duit, kehilangan baranglah dan Zara dipanggil ketua bilik itu dan tanya betulkah kau curi serta diminta bersumpah.

“Zara menjawab ‘wallahi’ dia tidak mengaku dan tidak pasti pada masa sama atau tidak, tapi dalam bilik Zara masa itu pelajar tingkatan satu buka loker dan beg Zara periksa cari barang yang hilang dan dijumpailah pin bendera Malaysia milik ketua dorm Zara.

“Pada masa itulah ketua dorm ke bilik sebelah, bertanya juga, tapi Zara tidak mengaku dan ada lah sedikit kata kesat dikeluarkan oleh ketua dorm. Suruh bersumpah ‘wallahi’ tapi Zara tidak mengaku, selesai itu saja.

“Selepas itu , Zara keluar dari bilik itu dia menangis dan menjerit ‘aku tidak mencuri bah, bodoh’,” katanya pada prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Selepas itu, katanya arwah Zara Qairina dilihat kali terakhir pergi ke tandas sebelum ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan pada awal pagi 16 Julai lalu.

Sebelum itu, Azhari menceritakan mengenai siasatan dibuat oleh warden ketika beliau berada di Hospital Queen Elizabeth (HQE) yang dibuat terhadap pelajar sebilik dengan arwah Zara.

Katanya beliau diberitahu melalui kumpulan Whatsapp Warden bahawa siasatan itu dibuat di bilik isolasi asrama perempuan dan di mussolah sekolah pada 16 Julai lalu.

Hasil siasatan itu katanya turut dimaklumkan kepadanya melalui Whatsapp oleh guru unit disiplin, iaitu pengakuan bertulis lima pelajar mengenai apa yang berlaku sebelum kejadian Zara ditemui tidak sedarkan diri. – Info X