LAHAD DATU: Taktik sindiket menjadikan sebuah rumah di Kampung Silam, di sini, sebagai stor penyimpanan rokok seludup terbongkar apabila diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) menerusi Operasi Taring Landai Khas, tengah malam tadi.
Dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah malam itu, Unit Gempur Marin (UNGERIN) berjaya merampas sebanyak 95,000 batang rokok pelbagai jenama yang dipercayai cuba dipasarkan ke pasaran gelap.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, operasi berkenaan dijalankan hasil risikan terancang sebelum menyerbu rumah terbabit yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan rokok tidak bercukai.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM114,000.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan usaha mengesan dalang utama sindiket giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan.
“PPM Wilayah 4 Sabah komited membanteras sebarang bentuk jenayah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara,” katanya. – Info X