KOTA KINABALU: PKR Sabah menyatakan rasa kesal terhadap tindakan pemimpin Parti Warisan yang didakwa menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika tumpuan sepatutnya diberikan terhadap membantu mangsa bencana di negeri ini.
Ketuanya, Datuk Mustapha Sakmud, berkata tindakan itu seolah-olah mempolitikkan bencana yang menimpa rakyat apabila menjadikannya sebagai bahan ceramah dalam program politiknya.
Jelasnya, PKR Sabah tidak mempertikaikan bantuan yang disalurkan parti politik dalam membantu mangsa banjir dan tanah runtuh di negeri ini, namun perbuatan mempolitikkan bencana alam itu disifatkan tidak wajar.
“Secara spesifiknya, mereka menyindir Perdana Menteri dan juga isteri Perdana Menteri, ada beberapa pimpinan Warisan yang mengatakan bahawa ‘mana ada orang pimpinan Melayu yang turun padang membantu kita’.
“Dari sudut itu sebenarnya yang kita kesali itu, bukan bantuan. Saya hargai peranan semua parti, termasuk parti Warisan. Kita pun cubalah dengan sedaya upaya kita.
“Tapi, janganlah sampai mengkritik benda-benda yang di luar fakta. Kita boleh terima, tapi dengan menyebut ‘bukan juga ini tangan si Anwar Ibrahim mengundi’.
“Dia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini, kalau semua tahu, kalau ke luar negara, dia seorang pemimpin yang dihormati, tokoh peringkat global, peringkat dunia. Tapi kita di Sabah, sebut Datuk Seri dengan nama si Anwar Ibrahim.
“Kita ini, pendokong, ahli Parti Keadilan, ini tokoh reformis kita, yang kita ikut. Jadi apa rasa hati kami ini bila ada pimpinan yang mempertikaikan, langsung tidak menghormatinya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, di sini, pada Sabtu.
Mustapha berkata, perkara itu amat dikesali kerana bersifat keterlaluan dalam berpolitik hingga hilang rasa hormat terhadap pemimpin nombor satu negara dan keluar daripada batasan yang sewajarnya.
“Cuba bandingkan sumbangan Datuk Seri Anwar Ibrahim selama ini berbanding dengan Perdana Menteri sebelum ini kepada Sabah dan bandingkan juga dengan semasa Datuk Seri Shafie berada dalam kementerian dulu.
“Cuba kita bandingkan sumbangan beliau itu, jadi kita tidak mahu mempertikaikan itu. Tapi tolonglah tunjukkan rasa hormat kepada pimpinan negara kita, itu adab kita sebagai orang Sabah, itu adab kita menghargai pimpinan.
“Tapi janganlah sampai mengkritik, itu yang sebenarnya amat mengguris hati kami dalam keadaan kita mengurus bencana ini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi itu, berkata beliau yakin keperluan Sabah mendapat perhatian Perdana Menteri selepas lawatannya ke lokasi bencana di sini dan Penampang, semalam.
Katanya, adalah tidak wajar mempertikaikan bantuan RM200 juta diberikan kepada Palestin berbanding hanya RM10 juta untuk bencana di Sabah kerana jumlah yang diumumkan itu hanya untuk permulaan.
“Semalam Perdana Menteri ada meninjau lokasi-lokasi yang terjejas bencana dan pada masa itu Perdana Menteri mengatakan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) terutamanya supaya buat kajian segera berapa yang diperlukan.
“Kita akan pastikan bahawa proses tender itu juga akan kecualikan daripada proses-proses biasa. Cuma dari konteks Gaza dan Palestin ini,kalau kita bandingkan dengan Singapura, negara itu lebih besar sumbangannya, begitu juga Jepun.
“Negara itu relatifnya bukan Muslim tetapi mereka juga memandang bahawa isu ini isu besar isu kemanusiaan, isu genocide, anak-anak dibunuh setiap hari. Jadi ini bukan isu yang biasa.
“Tapi, saya tidak kata bahawa Sabah ini tidak penting, maksudnya kita akan pastikan bahawa Sabah juga, keperluannya tetap kita jaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai ada pihak mempertikaikan bantuan RM200 juta kepada Palestin berbanding hanya RM10 juta diumumkan untuk bantuan bencana kepada Sabah. – Info X