KOTA KINABALU: Kesejahteraan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus menjadi keutamaan Kementerian Pertahanan apabila pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan dilaksanakan di Sabah.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha itu termasuk menaik taraf fasiliti sekolah, pembinaan projek baharu dalam kem serta inisiatif ekonomi bagi membantu keluarga anggota ATM.
Dalam lawatan kerjanya ke Markas 5 Divisyen, Kem Lok Kawi, hari ini, beliau merasmikan blok bangunan baharu dan bilik darjah di Sekolah Kebangsaan Kem Lok Kawi yang siap dibina dengan kos keseluruhan RM3.06 juta.
Selain itu, beliau turut menyerahkan replika cek bernilai RM25,000 kepada Guru Besar SK Kem Lok Kawi, Sahibul Daim, dan Penolong Kanan Pentadbiran SK Kem Tentera Sandakan, Azmy Ahmad, hasil sumbangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk program Sekolah Angkat MADANI.
Mohamed Khaled juga meninjau projek penghasilan madu kelulut di Kem 3 RAMD yang diusahakan Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) dengan kerjasama Boustead Plantations Berhad (BPlant) sebagai pembeli utama serta Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang membantu dari segi kajian.
“Projek ekonomi MADANI seperti ini bukan sahaja membantu keluarga anggota menambah pendapatan, malah membina ekosistem kerjasama strategik yang memberi manfaat jangka panjang,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut melihat projek pembinaan tandas baharu di Masjid As-Salam dan kerja membaik pulih laluan rosak di Kem Lok Kawi membabitkan kos RM150,000, juga dibiayai LTAT menerusi Program Kem Santuni MADANI.
Program itu turut memberi peluang beliau bertemu lebih 500 anggota tentera dan awam di kem berkenaan, selain menyampaikan sumbangan kebajikan kepada 20 anggota dan keluarga yang menghidap penyakit kronik serta kurang upaya.
Hadir sama, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Medan Timur, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi dan Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Noorrul Azril Ariffin. – Info X