Search

Lelaki lemas ketika pasang pukat di sungai

September 21, 2025

Info X Reporters

TUARAN: Hasrat seorang lelaki mencari rezeki dengan memasang pukat di sungai Kampung Bukit Payung di sini, berakhir tragedi apabila ditemui lemas, petang tadi.

Mangsa dikenali sebagai Larry Juanis, 39, dikatakan hilang ketika memasang pukat di sungai berkenaan sebelum keluarganya membuat panggilan kecemasan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohammad Nor Amit berkata, sebaik menerima panggilan jam 3.01 petang, enam anggota dikerahkan ke lokasi bersama jentera dan bot penyelamat.

“Bagaimanapun, pada jam 3.35 petang, mangsa ditemui oleh ahli keluarga dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum pasukan bomba tiba.

“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan bantuan dua anggota bomba yang melakukan CPR sepanjang perjalanan ke hospital.

“Namun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan ketika menerima rawatan di hospital,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.19 petang.

Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan perubatan KKM. – Info X