KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencatat sejarah membanggakan apabila seramai 15 orang saintisnya berjaya menempatkan diri dalam kelompok dua peratus Saintis Terbaik Dunia 2025.
Seramai 15 saintis itu diiktiraf dalam kategori Single Year Citation Impact bagi tahun 2024, dengan enam daripada mereka turut tersenarai dalam kategori Career-Long Citation Impact.
Menerusi satu kenyataan, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata ia satu pengiktirafan berprestij antarabangsa yang diterbitkan Stanford University dengan kerjasama Elsevier.
Beliau menyifatkan pengiktirafan itu sebagai bukti keupayaan universiti dari Borneo untuk berdiri sebaris dengan institusi penyelidikan terbaik dunia.
“Kami amat berbangga dengan pencapaian ini. Ia membuktikan saintis UMS mampu berdiri sebaris dengan penyelidik terbaik dunia, sekali gus menunjukkan ilmu dan inovasi dari Borneo dapat menyumbang kepada penyelesaian cabaran global,” katanya.
Beliau berkata, pencapaian itu bukan sekadar pengiktirafan antarabangsa tetapi juga pemangkin kepada pengukuhan kerjasama pelbagai peringkat.
Jelasnya, di peringkat tempatan, universiti akan terus bekerjasama dengan komuniti, agensi kerajaan dan industri di Sabah serta Malaysia.
“Di peringkat serantau Borneo, UMS berhasrat memperkukuh jaringan dengan rakan akademik di Sarawak, Brunei dan Kalimantan.
“Di pentas global pula, fokus utama adalah membina kolaborasi dengan universiti dan organisasi antarabangsa dalam bidang penyelidikan, mobiliti akademik dan inovasi.
“Kejayaan ini hanyalah permulaan. Dengan kepakaran pelbagai bidang, UMS akan terus menjadi jambatan ilmu antara Sabah, Borneo dan dunia,” katanya.
Beliau turut mengumumkan nama-nama saintis yang mengharumkan universiti itu di peringkat antarabangsa.
Antara nama yang tersenarai dalam kategori Single Year Citation Impact ialah Prof Dr Hanudin Amin, Dr Teo Siow Hwa, Prof Dr Jason Teo Tze Wi, Prof Ts Dr Zainul Amiruddin Zakaria dan Prof Madya Dr Christophe Patrice Andie Wiart.
Turut diiktiraf ialah Prof Dr Md Shafiquzzaman Siddiquee, Dr Noora Barzkar, Prof Madya Ts Dr Rovina Kobun, Prof Ir Dr Rosalam Sarbatly, Prof Dr Md Lutfor Rahman, Prof Madya Dr Shigeharu Sato, Prof Ts Dr Uda Hashim, Prof Dr Rayner Alfred dan Dr Nurul Elyani Mohamad.
Sementara itu, bagi kategori Career-Long Citation Impact, antara yang tersenarai ialah Prof Ts Dr Zainul Amiruddin Zakaria, Prof Madya Dr Christophe Patrice Andie Wiart, Prof Dr Jason Teo Tze Wi, Prof Dr Md Shafiquzzaman Siddiquee, Prof Ir Dr Rosalam Sarbatly dan Prof Dr Md Lutfor Rahman.
Kasim berkata, pengiktirafan 15 saintis UMS itu memperkukuhkan reputasi universiti sebagai pusat ilmu yang digelar ‘Brain of Borneo’.
“Ini selaras dengan misi untuk mengangkat penyelidikan dan inovasi dari rantau ini ke persada dunia,” katanya. – Info X