Search

Lelaki terjun sungai ditemui lemas

September 24, 2025

Info X Reporters

KINABATANGAN: Seorang lelaki yang hilang dikhuatiri lemas selepas terjun di jambatan Kampung Batu Putih, di sini, semalam ditemui lemas pagi tadi.

Mayat mangsa berusia 41 tahun ditemui di tepi sungai berhampiran lokasi mangsa dipercayai hilang, pada jam 11.25 pagi tadi.

Semalam, mangsa bersama isterinya yang berusia 33 tahun dipercayai dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan tiba-tiba memegang dan memusing stereng kenderaan yang dipandu isterinya menyebabkan kereta mereka hilang kawalan lalu terbabas di bahu jalan.

Mangsa kemudian dikatakan keluar dari kenderaan lalu terjun ke dalam sungai berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Hairi Otuh, berkata bilik kawalan balai menerima panggilan kecemasan pada jam 5.03 petang semalam sebelum menghantar empat anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, jarak lokasi dengan balai adalah 23 kilometer dengan operasi mencari dan menyelamat dilancarkan di sekitar kawasan mangsa dilaporkan terjun.

“Operasi ditangguhkan pada jam 6.52 petang semalam dan disambung semula hari ini.

“Mangsa kemudian ditemui pagi ini oleh pasukan penyelamat di tepi sungai berhampiran lokasi dipercayai hilang,” katanya ketika dihubungi di sini.

Hairi berkata, mayat mangsa sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – Info X