Search

Shafie terima surat Peguam Negara berkaitan kes kematian arwah Zara

September 24, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sudah menerima surat daripada Peguam Negara berhubung ucapannya yang didakwa menyebut mengenai kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang sedang dibuat inkues di Mahkamah Koroner.

Perkara itu disahkan beliau pada sidang medianya sempena menerima kemasukan ahli baharu Warisan di pejabat parti itu di Kolombong, Inanam, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata, surat itu diterima daripada Jabatan Peguam Negara semalam yang memberinya tempoh seminggu bagi memberikan jawapan.

Katanya perkara itu diserahkan kepada peguamnya dan beliau akan membuat pengumuman mengenainya sebelum tempoh yang ditetapkan tiba.

“Ya, saya sudah menerimanya (surat), semalam. Mereka beri saya tempoh seminggu untuk menjawab. Sebelum tarikh itu, saya akan membuat pengumuman. Jangan risau, nanti apabila tiba masanya, saya akan jelaskan.

“Saya telah serahkan perkara itu kepada peguam saya dan semuanya dalam tindakan. Jangan bimbang, ini bukan isu utama sekarang.

“Jangan risau tentang hal itu. Sebagai ahli politik, saya hanya mahu memastikan segala-galanya dilakukan dengan betul. Namun, saya tidak mahu mengulas lanjut sekarang,” katanya.

Pada sidang media itu, Shafie menerima permohonan keahlian Ketua Daerah Kota Kinabalu, Edna Majimbun untuk menyertai Warisan.

Shafie menerima keahlian baharu Warisan daripada Edna Majimbun.

Isnin lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan berkata sedang meneliti ucapan Shafie yang dibuat pada satu majlis di Kinabatangan berdasarkan video tular yang mana bekas Ketua Menteri itu dipercayai menyebut kes arwah Zara adalah satu pembunuhan.

Jabatan itu menegaskan memandang serius ucapan dikeluarkan Shafie berhubung kes kematian Allahyarham Zara Qairina itu yang disifatkan berpotensi menjejaskan kelancaran prosiding mahkamah yang sedang berlangsung.

AGC menyebut, ia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang, termasuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah setelah penelitian selesai.

Selain itu, pada Isnin lalu juga, Koroner Amir Shah Amir Hassan, memerintahkan satu notis tunjuk sebab dikeluarkan terhadap Shafie berhubung ucapannya berkaitan kes kematian Allahyarham Zara Qairina.

Perintah berkenaan bagi meminta Ahli Parlimen Semporna itu untuk menjelaskan kenapa tindakan menghina mahkamah tidak sepatutnya dikeluarkan terhadap beliau.

Amir Shah mengeluarkan perintah itu selepas mendengar hujahan permohonan lisan Datuk Ram Singh selaku peguam seorang daripada saksi kanak-kanak dan pihak berkepentingan lain dalam inkues kematian arwah Zara Qairina ketika prosiding di Mahkamah Koroner. – Info X