PAPAR: Kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang dilaporkan hilang selepas tergelincir ketika memancing bersama rakannya di sungai Kampung Benoni, di sini, kelmarin, ditemui lemas malam tadi.
Mangsa, Muhammad Danial Zakwan Asri, ditemui pasukan penyelamat pada jam 9.08 malam, kira-kira 12 meter dari lokasi mangsa terjatuh sebelum dihanyutkan arus deras.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ismail Chalah berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua dimulakan seawal jam 7 pagi dengan bantuan sebuah bot penyelamat dan sebuah bot penduduk kampung.
“Pencarian memberi tumpuan di sekitar persisiran sungai tempat mangsa dipercayai hilang.
“Mangsa akhirnya ditemui pada malam hari kedua SAR sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya jam 10 malam tadi,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi membabitkan sembilan anggota dengan kekuatan dua jentera, selain bantuan polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), pasukan perubatan serta penduduk kampung.
Terdahulu, Muhammad Danial dilaporkan hilang selepas dipercayai tergelincir di tepi calvert ketika memancing bersama rakan-rakannya sebelum tenggelam lalu dihanyutkan arus deras ke arah sungai berhampiran. – Info X