Search

TIGA KANAK-KANAK BERSAUDARA DITEMUI LEMAS

May 25, 2022

admin

KOTA KINABALU: Cubaan dua kanak-kanak warga asing mahu menyelamatkan seorang lagi ahli keluarga yang terjatuh ke dalam parit besar di Kampung Bunga Raya, Kepayan berakhir tragedi apabila semua mereka ditemui lemas pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata,
semua kanak-kanak perempuan berusia lingkungan lima hingga 12 tahun berkenaan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II)
dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu.

“Berdasarkan siasatan awal, kedudukan lokasi kejadian agak terpencil selain jaraknya kira-kira 200 meter dari kawasan rumah di Kampung Bunga Raya.

“Keadaan lokasi kejadian juga membabitkan parit selebar lima meter dan kedalaman air kira-kira dua meter berikutan air sedang pasang.

“Semua mangsa mempunyai hubungan kekeluargaan dan tinggal berjiran di rumah setinggan di kampung terbabit.

“Ketiga-tiga mangsa sewaktu kejadian dipercayai sedang bermain di tebing parit berkenaan sebelum seorang daripada mereka tiba-tiba tergelincir dan jatuh ke dalam parit berkenaan.

“Dua daripada mangsa kemudiannya cuba menyelamatkan mangsa pertama, namun disebabkan tidak pandai berenang, ketiga-tiga mereka terus lemas di parit berkenaan ,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zaidi memaklumkan seorang remaja lelaki yang kebetulan berada di lokasi kejadian dan melihat kejadian itu terus bertindak menarik semua mangsa keluar daripada parit berkenaan

Menurutnya, semua mangsa terus dibawa ke hospital menggunakan ambulans dan kenderaan persendirian untuk mendapatkan rawatan lanjut namun ketiga-tiga mangsa disahkan sudah meninggal dunia akibat lemas setibanya di hospital.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya. – Info X