KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau menerima kedudukan PKR dan Pakatan Harapan (PH) yang tidak mendapat banyak kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Beliau mengakui, PKR hanya bertanding di beberapa kerusi, manakala beberapa kerusi lagi ditandingi rakan parti dalam PH dan di kawasan lain pula ada pakatan dengan rakan kerjasama.
Jelasnya, apa yang penting ialah hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan dapat dikekalkan selepas pilihan raya nanti.
“Masa pilihan raya nanti kita kena fikir baik-baik. Ada PKR tanding, contoh di Inanam, ada dengan rakan dalam PH dan ada kawasan kita pakat sama-sama.
“Ini supaya hubungan negeri dan Persekutaun kekal baik. Bagi PKR dan PH, ini yang mesti kita pastikan, tidak terlalu banyak kerusi tak mengapa.
“Kita, dalam puluhan kerusi itu akan jadi penentu, kita ada prinsip hidup kita. Parti ini perjuangan, ada orang bila susah ingat perjuangan, bila senang lupa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Himpunan Tamu Rapat Umum sempena 27 Tahun Reformasi PKR di Dewan Pisompuruan Kampung Kobuni, di sini, pada Jumaat.
Mengenai kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN), Pengerusi PH itu berkata pihaknya tetap bekerjasama dengan kedua-dua gabungan itu.
“Kita bekerjasama dengan BN dan kita juga bekerjasama dengan GRS. Itu yang kita beri perhatian pada ketika ini,” katanya.
Sebelum ini, Anwar sudah menjelaskan bahawa PH akan bekerjasama dengan BN dan GRS walaupun kedua-dua gabungan berkenaan tidak dapat menjalin kerjasama.
Ketua PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud sebelum ini menjelaskan rundingan tetap dijalankan dengan kedua-dua gabungan itu bagi menentukan kerusi yang akan ditandingi.
Difahamkan, menerusi rundingan dengan BN, PH dijangka mendapat kira-kira 30 daripada 73 kerusi, manakala rundingan dengan GRS hanya memperuntukkan 18 kerusi kepada PH. – Info X