Search

Imigresen terus gempur PATI, 66 dicekup

September 27, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah terus menggempur pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui siri operasi penguatkuasaan yang dijalankan sejak seminggu lalu di daerah ini serta beberapa daerah lain.

Operasi bermula 21 hingga 26 September itu dijalankan hasil risikan dan aduan awam selama hampir seminggu, membabitkan lokasi sekitar Papar, Penampang, Manggatal, Inanam, Sepanggar dan Tuaran.

Menerusi kenyataan di Facebook rasmi JIM Sabah pada Jumaat, serbuan disertai 28 pegawai Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu itu memeriksa seramai 153 individu.

“Daripada jumlah itu, seramai 66 individu ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa serta melanggar syarat pas.

“Mereka terdiri daripada warga Pakistan, Filipina dan Indonesia,” katanya.

Katanya lagi, semua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Papar dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, selain Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

JIM Sabah dalam kenyataan itu turut menegaskan, tindakan tegas akan diteruskan tanpa kompromi termasuk terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji PATI, selain menggesa orang ramai terus menyalurkan maklumat berkaitan. – Info X