KOTA KINABALU: Penularan video terbaharu yang didakwa mengandungi perbualan berunsur rasuah melalui sebuah portal baru-baru ini mengesahkan tindakan yang diambil Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor membatalkan permohonan lesen cari gali sebagai langkah yang tepat untuk menjaga kepentingan negeri.
Seorang pemerhati politik yang enggan namanya didedahkan, berkata beliau yakin tindakan Hajiji adalah untuk menyelamatkan khazanah negeri ini, khususnya kekayaan sumber mineralnya daripada kerakusan kartel yang mendesak untuk mendapatkan permit bagi meneroka galian di bumi Sabah.
Jelasnya, video yang ditularkan tidak lebih hanya satu luahan perasaan ahli perniagaan yang kecewa setelah usahanya untuk mendapatkan lesen cari gali gagal walaupun bermacam usaha dilakukannya, termasuk dengan menawarkan kewangan kepada ADUN kerajaan.
Apa yang jelas katanya, video yang memaparkan perbualan di antara Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan itu, hanya satu bentuk ulangan cerita mengenai pembatalan permohonan lesen cari gali oleh Ketua Menteri.
“Bagi saya, video Jeffrey ini sebenarnya ada sisi positif. Berkali-kali kita dengar Albert (ahli perniagaan) hanya ulang cerita bahawa Ketua Menteri membatalkan lesen-lesen perlombongan.
“Itu sendiri membuktikan bahawa keputusan Ketua Menteri tepat, beliau tampil sebagai penyelamat rakyat Sabah daripada kerakusan kartel.
“Hakikatnya, video itu hanyalah luahan seorang individu yang semakin terdesak. Albert mengaku memberi sumbangan kepada beberapa ADUN ketika pilihan raya dengan harapan mendapat sesuatu sebagai balasan.
“Tetapi sehingga kini tidak ada bukti bahawa Datuk Seri Jeffrey pernah menjanjikan apa-apa, apatah lagi meminta habuan sebagai quid pro quo,” katanya, di sini.
Lebih penting, jelasnya, rakyat perlu faham bahawa Jeffrey dan ADUN yang lain tiada kena mengena dengan Sabah Mineral Management (SMM) yang mengurus soal pelesenan penerokaan mineral di negeri ini.
Katanya, Jeffrey dan ADUN yang dikaitkan dengan isu itu sebelum ini tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menentukan atau meluluskan lesen perlombongan.
“Semua ini jelas menunjukkan naratif kartel hanya mahu menutup kegagalan dan menyalahkan pihak lain.
“Sebagai orang Sabah, saya rasa wajar kita melihat siapa sebenarnya yang berani melawan kartel dan siapa yang hanya pandai menuding jari,” katanya. – Info X