SIPITANG: Seramai 244 penduduk Kampung Long Pasia, Long Mio dan Ulu Bole, di sini menerima geran tanah menerusi Program Penyukatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS).
Penyerahan geran PANTAS itu disempurnakan Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob.
Beliau menyerahkan dokumen itu melalui Ketua Kampung masing-masing, iaitu Yakub Sim (Long Pasia), Murang@Murong Padang (Long Mio) dan Ampayas Antakah (Ulu Bole).
Daripada 244 penerima geran PANTAS itu, seramai 138 adalah penduduk kampung Long Pasia, diikuti Long Mio (56 geran) dan Ulu Bole (50 geran).
Bercakap kepada media selepas majlis penyerahan itu, Dr Yusof berkata penyerahan geran PANTAS kepada penduduk penting agar memiliki tanah yang bergeran dan tiada lagi keraguan.
Beliau juga berharap penduduk yang menerima manfaat menerusi program Kerajaan Negeri itu dapat mengusahakan tanah dengan tanaman pertanian seperti kopi, sayur-sayuran dan buah-buahan.
Katanya, ia penting bagi memenuhi permintaan makanan di Sipitang yang dijangka meningkat selaras pertumbuhan industri di daerah ini, menerusi pembukaan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
“Dijangka 13,500 tenaga kerja di SOGIP yang akan tinggal bersama keluarga mereka di Sipitang, sudah tentu permintaan bekalan makanan akan meningkat dan peluang ini harus direbut oleh penduduk Sipitang khususnya golongan muda,” katanya.
Beliau juga mengingatkan penerima geran PANTAS tidak menjual tanah kepada orang lain, sebaliknya memajukannya secara sendiri atau berkelompok menerusi agensi kerajaan negeri dan persekutuan atau koperasi.
Katanya, PANTAS adalah inisiatif Kerajaan Negeri untuk menyukat dan memberikan geran tanah secara rasmi kepada anak-anak negeri di kawasan tanah adat negeri bagi menjamin dan mengiktiraf pemilikan tanah turun-temurun yang sah, sekali gus meningkatkan kesejahteraan penduduk luar bandar di negeri ini.
Pada majlis sama, Dr Yusof turut menyampaikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada 120 Ketua Isi Rumah mangsa bencana banjir baru-baru ini yang dipindahkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sipitang.
Hadir sama Pegawai Daerah Sipitang, Abd Karim AM Zahari dan Ketua Pengarah Kanan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Nurul Ikhsan Ibrahim. – Info X