KOTA KINABALU: Seorang pelajar dari China memilih Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk mencapai cita-citanya menjadi pakar entomologi atau kajian mengenai serangga.
Liu Tong Shua, 23 yang melanjutkan pengajian dalam bidang biologi di Fakulti Perhutanan Tropika, berkata beliau memilih UMS selepas dicadang rakannya di negara ini dan Singapura.
Beliau berkata, rakan-rakannya dalam bidang entomologi di Singapura dan Malaysia menyarankan UMS sebagai destinasi terbaik untuk mendalami kajian serangga tropika.
“Rakan-rakan saya ahli entomologi di Singapura dan Malaysia memberitahu, jika mahu belajar berkaitan entomologi dan mencapai cita-cita dalam bidang ini, UMS adalah pilihan yang terbaik.
“Di sini, peluang saya untuk memperoleh pengalaman lebih luas amat besar berbanding universiti di negara lain,” katanya ditemui selepas mendaftar sebagai pelajar baharu UMS.
Liu berkata, beliau turut menerima tawaran untuk mengikuti pengajian di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), namun memilih UMS selari dengan cita-citanya untuk menjadi ahli entomologi yang berjaya pada masa depan.
Beliau berkata, minatnya terhadap serangga bermula sejak berusia tiga tahun apabila mula mengumpul serta menyimpan spesimen dan berharap pengajian di UMS dapat memperkukuh pengetahuan serta pengalamannya.
“Sejak 2016, saya sudah beberapa kali mengunjungi Sabah bersama keluarga dan sejak itu saya amat menyukai negeri ini. Kali ini, saya datang sebagai pelajar rasmi UMS dan berharap pengalaman di sini lebih bermakna,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pelajar antarabangsa, Nafis Hanif, 24, dari Brahmanbaria, Bangladesh, memilih untuk mengikuti program Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Kimia Industri) di UMS demi merealisasikan impian arwah bapanya.
“Bapa saya pernah berhasrat membangunkan sebuah kilang mesra alam, namun beliau meninggal dunia sebelum sempat melaksanakannya. Saya ingin menunaikan impian itu melalui bidang pengajian ini,” katanya.
Nafis berkata, keputusannya ke UMS turut dipengaruhi oleh persahabatan akrabnya dengan rakan dari Sabah yang dikenalinya melalui permainan dalam talian League of Legends.
“Saya amat menyukai keramahan masyarakat di Sabah dan setakat ini, pengalaman saya di UMS sangat baik.
“Walaupun agak gementar menghadiri kelas kerana kekangan bahasa, saya yakin dapat menyesuaikan diri apabila sesi pembelajaran bermula,” katanya.
Liu dan Nafis adalah antara 5,123 pelajar baharu yang ditawarkan tempat untuk melanjutkan pengajian di UMS bagi sesi kemasukan 2025/2026. – Info X