Search

Pemimpin GRS ‘berjumpa’ di Sri Gaya

October 2, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemimpin utama semua parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengadakan perjumpaan di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya, malam tadi.

Perjumpaan yang dikatakan mesyuarat biasa pemimpin GRS itu dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku pengerusi GRS dan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bersama semua presiden parti komponen.

Antara yang kelihatan ialah Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; pemangku Presiden PBS, Datuk Dr Joachim Gunsalam; Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia; Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee; Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin; Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah dan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman.

Bagaimanapun tiada maklumat rasmi berhubung tujuan perjumpaan itu, namun ia pastinya berkaitan perkembangan semasa politik menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Perjumpaan itu juga dikaitkan dengan laporan mengenai pendirian Jeffrey yang mahu GRS bertanding secara solo atau STAR yang diketuainya akan bertindak keluar parti jika GRS bergabung dengan Pakatan Harapan (PH). – Info X